Beli ais dari kilang ada lesen KKM, elak jangkitan Covid-19

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengguna disaran membeli ais dari kilang dilesenkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengelak kegusaran terkena jangkitan koronavirus (Covid-19), kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, pengguna boleh merujuk nombor lesen KKM pada pembungkusan ais dan menyemak maklumat kilang ais yang memperoleh lesen KKM di laman sesawang rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).

“KKM ambil maklum saranan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh dalam satu laporan media yang menyarankan orang ramai untuk tidak mengambil ais daripada sumber tidak disahkan dan bahawa jangkitan Covid-19 boleh disebarkan melalui cecair,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Peraturan 394A Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menetapkan standard ais dan syarat lesen yang perlu dipatuhi oleh kilang ais.

Katanya, ais dihasilkan hendaklah menggunakan sumber air terawat dan menjalani proses nyahjangkitan melalui pelbagai teknologi, antaranya teknologi radiasi pengionan, ultraungu dan sebagainya.

“Berdasarkan kajian dan maklumat diketahui setakat ini mengenai jangkitan Covid-19, pematuhan kepada standard dan syarat perlesenan sedia ada dapat memastikan ais dikeluarkan oleh kilang ais adalah selamat. Namun, kilang ais tidak mempunyai lesen tidak dapat dipastikan keberkesanan proses penyahjangkitan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara mengancam kesihatan pengguna dan BKKM turut menjalankan pemantauan ke atas kilang ais yang beroperasi di negara ini bagi memastikan pengilang ais mematuhi peraturan ditetapkan.

Sehingga kini, beliau berkata, terdapat 156 kilang ais berlesen dengan KKM di seluruh negara manakala 16 kilang ais masih dalam proses kelulusan lesen.

Artikel Berkaitan:

“Pada 2019, 140 kilang ais beroperasi tanpa lesen dikenal pasti oleh KKM, dan daripada jumlah itu, 18 kilang ais beroperasi tanpa lesen dikenakan tindakan penguatkuasaan, manakala 122 kilang bakal dikenakan tindakan pada tahun ini.

“Pemilik kilang ais beroperasi tanpa lesen daripada KKM boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun,” katanya.

Beliau turut menyarankan agar pengguna yang mempunyai kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau hubungi KKM melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook BKKM. - Bernama