Kita bina pintu baharu bukan pintu belakang: Mohd Amar

Mohd Amar Nik Abdullah
Mohd Amar Nik Abdullah
A
A
A

KOTA BHARU - Pas menjelaskan tidak timbul isu penubuhan kerajaan pintu belakang dan pengkhianatan terhadap mandat rakyat susulan situasi politik yang berlaku hari ini.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, Pakatan Harapan (PH) itu sendiri yang mengkhianati kepercayaan rakyat kerana gagal menunaikan janji mereka menerusi manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Ini bukan soal pintu belakang, kalau rumah ia ada pintu depan dan belakang. Kita ni buat pintu baru. Tidak bangkit soal pintu belakang. Kita buat pintu baru. Tidak timbul soal pengkhianatan.

“Apa maksud mandat rakyat. Kami pun ada mandat, kita ada pengundi, UMNO pun ada pengundi. GPS pun ada pengundi, Warisan ada pengundi. Semua orang ada pengundi dan kita membawa mandat pengundi masing-masing,” katanya hari ini.

Mohd Amar berkata, PH yang ditubuhkan selama ini sudah runtuh kerana gabungannya sudah berpecah.

“Jadi di mana mandat itu? Itu isunya. Sebagai contoh kalau semua mengundi PKR atas lambangnya, dan PKR boleh menjadi kerajaan dengan bersendirian, itu baru boleh dikatakan kita mengkhianati mandat rakyat.

“Tetapi PKR tidak boleh berdiri sendiri dan DAP pun sama. Semuanya kena dapat sokongan orang lain. jadi semua orang ada mandat masing-masing. Jadi semua ini membawa mandat dan itu isu yang kita kena faham. Jadi tidak boleh kata mengkhianati mandat rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Amar berkata, satu-satunya kejayaan PH yang terlakar ialah berjaya menjatuhkan Barisan Nasional.

Artikel Berkaitan:

“Rakyat undi dia kerana manifesto tetapi cuba sebut pada saya mana manifesto yang betul-betul dilaksanakan PH?

"Tidak ada satu pun yang dia buat, minyak pun naik harga, PTPTN kena bayar, tol pun kena bayar. Apa yang dia bagi pada rakyat,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd Amar berharap apa yang berlaku beberapa ketika ini dapat diselesaikan dengan baik oleh Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya pun jangka, kalau tidak hari ini ia akan selesai esok,” katanya.