Melaka tuan rumah tujuh kejohanan tenis antarabangsa

MELAKA - Melaka bakal menjadi tuan rumah kepada tujuh kejohanan tenis bertaraf antarabangsa sepanjang tahun ini sekali gus mempertingkatkan industri pelancongan sukan negara.
Exco Belia, Sukan dan NGO, Datuk VP Shanmugam berkata, antara kejohanan yang bakal dianjurkan termasuk National Circuit Junior, National Circuit 2025, tiga kejohanan peringkat Asia bagi kategori bawah umur 14 dan 16 yang akan disertai pemain dari negara ASEAN, Melaka Heritage International Inter Team (MHIITT) 2025, serta Kejohanan International Tennis Federation (ITF) M15 yang akan menghimpunkan pemain bertaraf ranking ITF.
Menurutnya, penganjuran kejohanan yang akan bermula April depan bukan sahaja mampu menarik penyertaan pemain dari dalam dan luar negara, malah turut memberi impak positif kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.
Malah katanya, perkhidmatan berkaitan pelancongan seperti penginapan dan restoran dijangka mendapat manfaat langsung daripada kehadiran peserta, pegawai kejohanan serta peminat tenis yang hadir ke negeri ini.
"Usaha ini mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Melaka yang komited dalam membangunkan sukan tenis sebagai salah satu daya tarikan utama negeri.
"Bagi memastikan kejohanan ini berjalan lancar, kerajaan negeri akan memberikan dana kepada Persatuan Tenis Lawn Melaka (MLTA)," katanya ketika sidang akhbar Persatuan Lawn Tenis Melaka ( MLTA) di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek berkata, kerajaan negeri turut menggalakkan sektor swasta untuk menaja kejohanan seperti ini melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bagi mendapatkan pengecualian cukai.
Ujarnya, dengan inisiatif yang berterusan dan sokongan padu daripada pelbagai membolehkan Melaka dapat mengukuhkan kedudukannya dalam peta tenis dunia.
"Kejohanan bertaraf antarabangsa seperti ini dijangka mampu mencungkil bakat-bakat muda tempatan serta mewujudkan suasana kompetitif yang lebih tinggi dalam sukan tenis negara sekali gus menaikkan prestasi atlet tempatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

