Seminggu berlalu, kehilangan cikgu Hamdan masih misteri

Setakat ini, polis masih belum menerima sebarang maklumat mengenai keberadaan Cikgu Hamdan.
Setakat ini, polis masih belum menerima sebarang maklumat mengenai keberadaan Cikgu Hamdan.
A
A
A

SEGAMAT - Kehilangan seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jementah, Hamdan Hamzah, 46, sejak Isnin minggu lalu, terus menjadi tanda tanya apabila tiada sebarang petanda ditemui.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Ahmad Zamry Marinsah berkata, pelbagai usaha telah dilakukan bagi mengesan guru terbabit.

"Ini termasuk melalui kenalan rapatnya, namun sehingga kini tiada perkembangan baharu diperoleh.

"Setakat ini, polis masih belum menerima sebarang maklumat mengenai keberadaan Cikgu Hamdan," katanya ketika ditemui pada Isnin.

Sementara itu jirannya, Junaidah Samsudin, 60, berkata, berita kehilangan Cikgu Hamdan yang tular di media sosial sejak minggu lalu, menggemparkan penduduk Felda Kemelah.

Ini kerana katanya, Cikgu Hamdan amat dikenali penduduk memandangkan keluarganya sudah lama tinggal di Felda Kemelah.

Junaidah memberitahu, ada melihat motosikal di rumah Cikgu Hamdan sehari sebelum dia dilaporkan hilang.

"Ya, hari itu saya nampak motosikalnya masih di rumah, tetapi keesokannya kami dapat tahu dia sudah dilaporkan hilang.

"Ada penduduk beritahu, ahli keluarganya turut mencarinya hingga ke Melaka. Kami berharap dia segera ditemui dalam keadaan selamat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, penduduk Felda Kemelah telah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan Cikgu Hamdan termasuk menyusuri jalan yang sering dilaluinya untuk ke sekolah.

Selain itu, bacaan doa dan solat hajat juga diadakan bagi memohon supaya urusan pencarian dipermudahkan.

Sebelum ini, polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang guru lelaki yang dilaporkan hilang sejak 17 Februari lalu.

Hamdan Hamzah beralamat di Felda Kemelah, Segamat, kali terakhir dilihat ketika keluar dari kediamannya sekitar jam 5.15 pagi untuk ke tempat kerja di SK Jementah.

Mangsa ketika itu dikatakan menaiki motosikal jenis Yamaha Ego dengan nombor pendaftaran DEL 9426.

Kehilangan guru berkenaan dilaporkan abangnya kira-kira jam 6.22 petang pada Rabu.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai guru terbabit untuk segera menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Mejar Shamsuddin Ramli di talian 07-92799222 atau hadir ke balai berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!