KRW FC harap kemelut KAFA segera diselesaikan

Aksi pemain semasa sesi pemilihan pemain KRW FC di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Kota Bharu pada petang Ahad.
Aksi pemain semasa sesi pemilihan pemain KRW FC di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), Kota Bharu pada petang Ahad.
A
A
A

KELAB Bola Sepak Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) berharap kemelut yang sedang melanda Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dapat diselesaikan segera bagi memastikan program pembangunan sukan berkenaan diperingkat akar umbi tidak terjejas.

Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hasan berkata, jika masalah itu terus berpanjang berkemungkinan ia akan merugikan pembangunan bola sepak di negeri ini.

"Pembangunan bola sepak di Kelantan terbantut, contoh pasukan futsal tidak boleh dihantar, (menyertai pertandingan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia) begitu juga dengan pasukan Piala Presiden dan belia kerana mereka memerlukan kelulusan KAFA.

No Image Caption

"Bila KAFA tiada (digantung) pembangunan bola sepak tergantung. Jadi secara peribadi saya risau dengan perkara ini. Dari segi KRW kita tidak terjejas dengan isu tersebut kerana kami kelab swasta," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa sesi pemilihan pemain KRW FC di padang Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), di sini pada petang Ahad.

Menurut Nik Hafiz Naim, KRW FC sudah mengadakan pertemuan dengan KAFA untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan dengan isu tersebut.

Beliau difahamkan isu tersebut mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan.

Nik Hafiz Naim memberitahu, mengikut maklumat daripada bahagian perundangan KAFA, isu tersebut telah dirujuk kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Artikel Berkaitan:

"Saya difahamkan proses perbicaraan sedang berjalan, kami (KRW) tidak mahu mengganggu.

"Cuma kami berharap semua ini dapat diselesaikan dengan baik," katanya.

Media sebelum ini melaporkan KAFA digantung kerana FAM mendapati Kongres KAFA kali ke-65 dan Pemilihan Jawatankuasa Eksekutif KAFA Bagi Sesi 2024-2028 yang diadakan pada 19 Disember lalu didapati tidak sah.

Dalam perkembangan lain, Nik Hafiz Naim berkata, KRW FC sedia membawa masuk bekas pemain kebangsaan dan senior dalam memperkukuhkan lagi pasukan bagi mengharungi saingan di Liga A1 Semi-Pro musim ini.

Katanya, pemilihan pemain itu diserahkan sepenuhnya kepada pengendali pasukan Irfan Bakti Abu Salim untuk membuat keputusan.

"Buat masa ini kami tidak boleh mengumumkan perkara tersebut kerana saingan Liga M (Liga Malaysia) masih berlangsung dan pemain tersebut masih ada kontrak," katanya.

Ujar beliau, kemasukan pemain senior tersebut membuktikan kesungguhan KRW FC untuk memberikan cabaran dalam saingan itu nanti.

Katanya, membawa nama Red Warriors bukan mudah dan pasukan perlu dipersiapkan dengan sebaik mungkin.

Nik Hafiz Naim memberitahu, senarai lengkap kesemua pemain akan diumumkan pada Mei ini semasa majlis pelancaran jersi pasukan.

"Kesemua pemain senior itu digabungkan dengan tenaga muda yang telah dipilih melalui beberapa sesi sebelum ini.

"Kami (KRW) masuk bertanding Liga A1 Semi-Pro bukan saja-saja, tapi KRW mahukan sesuatu untuk pasukan dan peminat bola sepak di negeri ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!