Pendidikan akuakultur tingkat kemahiran pelajar pendidikan khas

Mohd Hassany (kiri) melepaskan anak ikan tilapia ke dalam kolam. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Hassany (kiri) melepaskan anak ikan tilapia ke dalam kolam. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

PASIR MAS - Program pendidikan akuakultur yang diperkenalkan di sekolah-sekolah memberi manfaat dalam meningkatkan kemahiran pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, antaranya inisiatif Aquaculture Aspire oleh pihak Agrobank yang bukan sahaja melatih pelajar dalam bidang penternakan ikan tetapi juga membantu membangunkan kemahiran insaniah dan teknikal dalam kalangan pelajar berkeperluan khas.

Pelajar PPKI bergambar bersama tetamu yang hadir di perasmian pelepasan anak ikan tilapia. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
Pelajar PPKI bergambar bersama tetamu yang hadir di perasmian pelepasan anak ikan tilapia. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID

“Program ini selari dengan dasar pendidikan inklusif yang memberi peluang sama rata kepada semua pelajar termasuk mereka yang mempunyai neurodiversiti.

“Pendidikan akuakultur memberi pelajar kelebihan untuk mempelajari teknik moden dalam penternakan ikan di samping meningkatkan daya tumpuan, kemahiran motor halus, dan keyakinan diri mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan negeri Kelantan, Mohd Hassany Hashim pada Majlis Perasmian Program Pelepasan Anak Ikan Aquaculture Aspire Agrobank di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meranti di sini pada Ahad.

Dalam majlis tersebut, sebanyak 1,500 ekor benih ikan tilapia dilepaskan di sebuah kolam yang dibina dengan keluasan 5.5 meter, menelan kos keseluruhan RM15,000.

Menurut Fadhlina, program ini adalah kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan Agrobank bagi membangunkan bakat muda dalam industri akuakultur.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menekankan bahawa pelaburan dalam pendidikan sebegini akan melahirkan generasi usahawan muda yang mampu memenuhi keperluan industri makanan negara.

“Melalui inisiatif ini, pelajar diajar tentang teknik penternakan ikan, pengurusan sumber air serta aspek keusahawanan yang boleh diterapkan dalam kerjaya masa depan mereka.

Program Aquaculture Aspire Agrobank dilaksanakan di SMK Meranti, Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID
Program Aquaculture Aspire Agrobank dilaksanakan di SMK Meranti, Pasir Mas. Foto SINAR HARIAN ADILA SHARINNI WAHID

“KPM akan terus menyokong program sebegini agar lebih banyak sekolah dapat memperkenalkan pendidikan teknikal dan vokasional termasuk dalam bidang akuakultur,” tambahnya.

Sementara itu, seorang pelajar PPKI yang menyertai program ini, Mohamad Khairil Iqbal Mohd Zameri,13, meluahkan rasa teruja kerana dapat mempelajari teknik penjagaan ikan secara praktikal.

“Saya seronok belajar cara membela ikan dan berharap suatu hari nanti boleh mempunyai kolam ikan sendiri,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!