Peritnya tragedi Bukit Kepong masih terasa - Waris

MUAR - [DIKEMAS KINI] Walaupun sudah 75 tahun berlalu, namun kesedihan kehilangan insan tersayang dalam tragedi berdarah Bukit Kepong, masih terasa perit dan sukar dilupakan.
Zaleha Ahmad, 75, anak kepada Allahyarham Ahmad@ Muhammad Jaafar berkata, ayahnya yang berkhidmat sebagai 'mata-mata' ditembak komunis di berek polis Bukit Kepong ketika sedang bersarapan bersama keluarga.
Jelasnya, ketika kejadian pada jam 4.30 pagi itu, usianya baharu tiga bulan dan ibunya, Allahyarham Marian Ibrahim sering berkongsi kisah tragedi hitam itu dengan adik beradiknya.

"Ibu, ayah dan kami tiga beradik tengah bersarapan sebelum dikejutkan dengan bunyi tembakan. Ayah buka tingkap dan terkena tembakan komunis di bahu sebelum rebah.
"Ayah sempat suruh ibu sembunyi kami adik beradik di dalam peti besi di berek polis tetapi tidak sempat kerana komunis sudah tercegat di depan pintu lalu lepaskan tembakan kepada ayah. Peluru terkena perut ayah sehingga terburai.
"Selepas itu komunis minta ibu bawa kami ke tepi sungai. Ibu yang mendukung abang ketika itu berusia tiga tahun diacukan senapang untuk dijadikan umpan pujuk tiga lagi anggota polis di balai polis untuk serah diri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Memperingati Peristiwa Bukit Kepong di Galeri Darurat Bukit Kepong yang dirasmikan Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar di sini pada Ahad.
Pada majlis itu juga, Kumar turut menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa tragedi itu.

Suasana bertukar sedih ketika Timbalan Ketua Balai Polis Tampoi, Yusof Ramji membaca sajak diiringi persembahan teater muzikal Bukit Kepong.
Dalam pada itu, Zaleha tidak menahan sebak memberitahu, anggota polis terbabit tetap berkeras mahu pertahanankan balai polis dan sanggup menggadaikan nyawa.
"Anggota polis itu beritahu biarlah mereka mati di situ dan minta ibu selamatkan anak-anak. Ibu kemudiannya kembali ke berek dan menarik ayah yang cedera ditembak ke tepi sungai. Saya dipangku oleh kakak yang berusia lima tahun.
"Selepas komunis masuk ke dalam hutan, bot digerakkan untuk bawa anggota polis yang cedera ke Hospital Muar melalui sungai. Ayah menghembuskan nafas terakhir di dalam bot," ujarnya.

Sementara itu, seorang lagi waris wira Bukit Kepong, Jariah Jidin 75, yang kehilangan bapanya, Lans Koperal Jidin Omar ketika masih berada dalam kandungan ibunya yang berusia dua bulan.
"Ibu cerita, bapa ditembak di perut dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Kami sekeluarga kehilangan insan tersayang dalam sekelip mata angkara serangan komunis.
"Kami membesar sebagai anak yatim dalam kesusahan. Setiap kali majlis peringatan ini diadakan, saya terkenang bagaimana sukar hidup kami selepas ketiadaan bapa," katanya.
Jariah sempat menitipkan pesanan kepada generasi muda agar menghargai pengorbanan pejuang tanah air.
"Sayangilah negara kita sementara kita masih menjadi tuan di tanah sendiri. Jika kita lalai dan tidak berwaspada, kita akan menjadi penumpang di negara sendiri," katanya.
Tragedi Bukit Kepong yang berlaku pada 23 Februari 1950 menyaksikan pengorbanan besar anggota polis dan keluarga mereka dalam mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong daripada serangan lebih 180 pengganas komunis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

