Peniaga makanan di Klang digalak mohon sijil halal, tarik pelancong asing

Mohammed Khusrin (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian pelancaran kod respons pantas (QR) restoran sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan pada Ahad.
Mohammed Khusrin (tiga dari kiri) melakukan gimik perasmian pelancaran kod respons pantas (QR) restoran sempena Hari Klang Tanpa Kenderaan pada Ahad.
A
A
A

KLANG - Peniaga makanan di Klang digalakkan memohon pensijilan halal bagi memastikan makanan yang ditawarkan menepati kehendak pelanggan terutamanya pelancong asing yang mengunjungi kawasan bersejarah itu.

Orang Besar Daerah Klang, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, pensijilan halal diharap dapat menarik lebih ramai pelancong khususnya umat Islam untuk menikmati pelbagai hidangan halal yang disediakan peniaga tempatan.

"Klang kini menjadi tumpuan utama bagi pelancong yang ingin menikmati budaya dan kepelbagaian makanan tempatan.

"Kita menggalakkan peniaga memohon pensijilan halal ini bagi memberi pilihan kepada pelanggan," katanya ketika ditemui pada Hari Klang Tanpa Kenderaan pada Ahad.

Dalam pada itu, katanya, Majlis Bandaraya Daerah Klang (MBDK) telah mengenal pasti lebih 360 tapak dan monumen sejarah yang bernilai warisan di seluruh daerah Klang.

Menurutnya, Klang merupakan salah satu penempatan tertua di Semenanjung Tanah Melayu dan kaya dengan sejarah serta warisan yang perlu dijaga.

"MBDK sentiasa berusaha menjejaki dan mengenal pasti sejarah dan warisan Klang menerusi projek Jejak Warisan Bandaraya Diraja Klang.

"Bandaraya Diraja Klang ini bukan sahaja meliputi kawasan darat tetapi juga laluan Sungai Klang dan kepulauan Klang," tambah beliau.

Jelas beliau, MBDK sedang giat membangunkan Klang dengan memastikan ia berkembang menjadi bandar moden yang selamat, bersih dan lestari tanpa meninggalkan nilai-nilai sejarah yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Klang semakin pesat membangun dalam kelas tersendiri iaitu sebagai sebuah bandar DiRaja yang sarat dengan nilai sejarah serta menawarkan kualiti kehidupan sejahtera," tambah beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!