PBT tak boleh letak syarat wajibkan peniaga dapatkan sijil halal - KPKT

IPOH - Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak boleh mengenakan syarat wajib atau paksaan kepada peniaga makanan dan minuman untuk mendapatkan sijil halal.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, tindakan sedemikian dianggap mengatasi bidang kuasa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berperanan penting dalam isu berkenaan.
"Jemaah Menteri sudah membuat keputusan di mana kerajaan menggalakkan kepada pengusaha untuk memohon sijil halal, bukan mewajibkan.
"Itu saya tegaskan, tidak boleh paksa. Kita hanya menggalakkan. Jadi PBT kena hormati itu dan tidak melakukan apa-apa bercanggah dengan keputusan jemaah menteri sebagai badan eksekutif tertinggi dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Sentuhan Kejayaan KPKT 2024 di Parlimen Tambun di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media, kerajaan Kelantan mensyaratkan pemilik dan pengusaha premis berasaskan makanan serta minuman memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sebagai syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan.
Laporan pada Khamis itu memetik Exco Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, setakat ini Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mewajibkan perkara tersebut sebelum diperluas kepada PBT lain.
Kor Ming berkata, cadangan mewajibkan pengusaha makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan serta beban kepada perniagaan kecil.
Katanya, sebagai contoh warung menjual nasi lemak dan pisang goreng yang terpaksa mengeluarkan kos tambahan hanya bagi memenuhi syarat memperbaharui lesen perniagaannya.
"Kos sijil halal pun beribu-ribu, selepas itu untuk perbaharui sijil halal ia juga tertakluk kepada audit tahunan dan proses ini juga dikenakan bayaran.
"Lagipun negara kita berbilang kaum, perlu juga ambil kira keperluan pengusaha bukan Melayu yang menjual makanan tidak halal," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

