'Cadangan undi pos perlu diperhalusi, elak risiko kebocoran maklumat' - Nor Halmey

SHAH ALAM - Saranan pelaksanaan undi pos pad Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bagi pengundi negeri itu yang menetap di luar negeri berkemungkinan berisiko dari segi kepercayaan dan kebocoran maklumat.
Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Dr Nor Halmey Hamdah berkata, walaupun kaedah berkenaan dilihat lebih memudahkan serta menjimatkan kos perjalanan, namun inisiatif itu juga berpotensi untuk berlaku kehilangan peti undi disebabkan kemungkinan terjadi kesilapan manusia.
“Undi pos sebenarnya satu cadangan bagus kerana memberi peluang sama rata kepada semua rakyat untuk mengundi walaupun kekangan dari sudut perjalanan.
“Justeru, pelaksanaannya haruslah dilakukan dengan adil dan saksama melalui pelaksanaan pengiraan serta paparan terus jumlah undi demi mengelakkan sebarang prejudis negatif,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas usul Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah, Datuk Mustapha Sakmud yang meminta Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) melaksanakan undi pos bagi pengundi Sabah yang menetap di luar negeri dalam PRN ke-17 pada tahun ini.
Inisiatif tersebut adalah untuk memastikan setiap rakyat di negeri berkenaan layak mendapatkan hak mereka tanpa halangan kewangan atau logistik.
Tidak hanya itu, sistem undi pos juga boleh diperluaskan demi memastikan akses lebih adil kepada semua pengundi.
Tambah Halmey, SPR juga perlu bersedia dengan sistem pengundian lebih efektif dan moden mengikut peredaran zaman agar semua masyarakat dapat melaksanakan kewajipan sebagai rakyat Malaysia.
“SPR sudah boleh merangka perancangan dalam melaksanakan pengundian lebih efektif dan moden seperti undian dalam talian (online) atau sebarang kaedah baru yang menarik, cepat dan selamat,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

