Kerajaan Perak masih berfungsi seperti biasa: Ahmad Faizal

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Pentadbiran kerajaan Perak masih berfungsi seperti biasa di sebalik perkembangan politik yang berlaku di peringkat kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau masih melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya sepertimana diamanahkan.

"Sebagai Menteri Besar yang diamanahkan, saya tetap jalankan tugas seperti biasa dan kekal mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

"Barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) juga masih menjalankan tanggungjawab masing-masing seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu telahpun menyembah maklum berhubung kedudukan politik negara dan negeri kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah semalam.

Justeru pihaknya meminta persefahaman semua pihak agar kemelut politik yang sedang melanda negara ketika ini dapat diatasi dengan baik untuk membolehkan kerajaan kembali menumpukan usaha-usaha pembangunan untuk kepentingan rakyat.

"Semoga ALLAH SWT memberikan petunjuk dan hidayah membolehkan kita mendapat penyelesaian terbaik untuk rakyat dan negara," katanya.

Perak antara negeri yang terkesan dengan keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) apabila kehilangan majoriti daripada 30 kepada 28 kerusi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal dari Bersatu masih kekal dengan jawatannya selaku Menteri Besar selagi masih menguasai majoriti sokongan ADUN meskipun tidak lagi bersama PH.

Ketika ini, Barisan Nasional (BN) Perak mempunyai 25 kerusi, Pas (3) sementara Bebas (1).

Difahamkan setakat ini tiada pihak memohon menghadap Sultan Perak untuk menyatakan mempunyai sokongan majoriti.