Remaja hilang dari asrama ditemui dalam bas

Nurkhairina Husna dijumpai selamat dalam sebuah bas di daerah Marang pada Sabtu. Foto Tular media sosial
Nurkhairina Husna dijumpai selamat dalam sebuah bas di daerah Marang pada Sabtu. Foto Tular media sosial
A
A
A

BESUT - Seorang remaja perempuan yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ditemukan selamat dalam sebuah bas di daerah Marang, pada Sabtu.

Ibunya, Nor Aida Abd Ghani, 37, memaklumkan anaknya, Nurkhairina Husna Junaidi, 17, dijumpai di sekitar Bukit Payong tengah hari tadi sebelum dibawa ke balai polis berdekatan untuk tindakan lanjut.

"Saya bersyukur kerana anak saya telah ditemui dalam keadaan selamat. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu serta mendoakan keselamatannya sepanjang kehilangannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Sabtu.

Menurut Nor Aida, punca sebenar anak kedua daripada lima beradik itu keluar dari asrama masih belum diketahui.

"Mungkin dia mengalami masalah tertentu dan mengambil keputusan untuk keluar dari asrama.

Nurkhairina Husna dilaporkan hilang dari asrama di daerah Besut pada malam Khamis lalu. Foto tular media sosial
Nurkhairina Husna dilaporkan hilang dari asrama di daerah Besut pada malam Khamis lalu. Foto tular media sosial

"Dia hanya mengikut jejak langkahnya sehingga dijumpai hari ini," ujarnya.

Sebelum ini, suaminya, Ahmad Firdaus Mohd Zain, 37, yang juga bapa tiri kepada remaja berkenaan, menerima panggilan daripada pihak sekolah kira-kira jam 11.30 malam Khamis memaklumkan bahawa anaknya tiada di bilik asrama.

"Kali terakhir dia menghubungi saya sekitar jam 3.30 petang pada hari kejadian menggunakan telefon awam, meminta saya menjemputnya kerana tidak mahu tinggal di asrama.

Artikel Berkaitan:

"Rakan anak saya memaklumkan, kali terakhir mereka melihatnya sekitar jam 9.40 malam ketika dia pergi ke bilik air untuk mencuci pakaian, namun tidak kembali ke bilik selepas itu," katanya.

Ahmad Firdaus berkata, anaknya diwajibkan tinggal di asrama bagi memberi tumpuan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal diduduki tahun ini.

"Pada awalnya, saya dan isteri merancang untuk melawat serta membawanya keluar pada pagi Jumaat, namun dia telah hilang sejak malam sebelumnya," jelasnya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh, mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan kejadian tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!