Perhilitan siasat kelibat buaya di jambatan Marang

MARANG - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)Terengganu akan menyiasat serta memantau lokasi dipercayai berlaku di jambatan Marang berikutan sebuah video tular daripada orang awam ternampak seekor buaya di kawasan berkenaan pada Khamis.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, setakat ini tiada laporan rasmi diterima daripada orang awam yang memaklumkan mengenai kehadiran reptilia tersebut.
"Setakat ini tiada lagi laporan diterima namun kita akan menyiasat kewujudan reptilia tersebut di kawasan berkenaan.
"Jadi kita mohon mereka yang mempunyai info berkaitan kejadian tersebut untuk hubungi pejabat Perhilitan berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Rakaman video berdurasi 40 saat itu menunjukkan kelibat reptilia berkenaan yang sedang berenang berhampiran jambatan tersebut.
Menurutnya, orang ramai terutama nelayan darat diingatkan untuk tidak membuat sebarang provokasi sekiranya terserempak dengan haiwan liar berkenaan.
Selain itu katanya, orang ramai juga diminta melaporkan penemuan itu kepada Perhilitan untuk tindakan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
