Beg berisi wang tunai RM59,000 milik pengurus syarikat dilarikan penjenayah

KLANG - Seorang pengurus syarikat pembaikan kontena mengalami kerugian RM59,000 apabila beg komputer riba berisi wang tunai dicuri seorang lelaki di sebuah restoran di Bandar Bukit Tinggi, di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu yang merupakan seorang lelaki warga asing berusia 48 tahun.
Beliau berkata, dalam kejadian jam 1 petang itu, mangsa sampai di restoran dan memesan minuman sementara menunggu pekerja untuk datang berjumpa dengannya.
"Pada masa tersebut, seorang lelaki dewasa telah masuk ke dalam restoran dan berlegar-legar di situ, sebelum mengambil beg komputer riba dan melarikan diri.
"Suspek dipercayai bersama seorang lagi rakan sejenayah yang menunggu di dalam kereta jenis Proton Persona berwarna kelabu di luar restoran," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Kata beliau, mangsa telah mengalami kerugian RM59,000 dan ia merupakan gaji pekerja.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian jelas menunjukkan perbuatan suspek.

Sehubungan itu katanya, pihak polis sedang giat mengenal pasti dan memburu suspek terlibat.
Beliau berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat kejadian diminta untuk tampil atau menghubungi talian 03-33762222 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
