'Jangan sampai ada nyawa melayang akibat jalan berlubang baru bertindak' - Hajiji

KOTA KINABALU - Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kekesalannya berhubung isu jalan raya dibiarkan berlubang sehingga mengorbankan nyawa seorang penunggang motosikal baru-baru ini.
Beliau yang sedih dengan kejadian itu berkata, penjawat awam sepatutnya bukan menyulitkan keadaan rakyat tetapi harus berperanan membantu memudahkan urusan rakyat.
"Bercakap mengenai kepentingan dan masalah rakyat, baru-baru ini tular seorang penunggang motosikal maut gara-gara jalan raya yang dibiarkan berlubang.
"Kejadian berlaku dalam kawasan Bandaraya Kota Kinabalu, bukannya berlaku jauh di pedalaman.
"Saya begitu sedih dengan kejadian tersebut, sementara ajal dan maut itu adalah takdir yang ditentukan, tetapi jalan-jalan yang rosak ini, tidak kira di mana sekalipun, sama ada di bandar besar atau pekan, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan amanat kepada penjawat awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Khamis.
Hajiji membuat teguran tersebut supaya penjawat awam tidak perlu menunggu kejadian tidak diingini berlaku atau aduan daripada rakyat untuk mengambil tindakan.
"Jangan tunggu sampai ada kemalangan baru kelam kabut bertindak, jangan tunggu sampai ada aduan atau arahan, baru mahu bergerak.
"Seperti saya sebutkan, zaman ini adalah zaman di mana semuanya berada di hujung dan silap sedikit, pasti ada yang tukang tular sambil menyalahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan ketua menteri.
"Yang dilihat dan ditegur bukannya kementerian atau jabatan berkenaan, tetapi kerajaan dan ketua menteri. Sama juga dengan isu air, elektrik, setinggan haram oleh golongan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pelbagai isu terkait dengan kepentingan rakyat sepatutnya diatasi dengan cekap dan pantas," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
