'Minggu hadapan kita umum zakat fitrah Perak'

IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) belum menetapkan kadar sebenar bayaran zakat fitrah yang perlu dibayar setiap individu berkewajipan tahun ini.
Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, perkara itu hanya akan diputuskan selepas mendapat perkenan Sultan Perak sebaik pengurusan MAIPk bersidang pada 27 Februari depan.
"Mengenai kadar zakat itu, minggu hadapan kita akan umumkan. Buat masa ini belum ada satu keputusan rasmi lagi.
"Perkara ini kita akan bawa ke mesyuarat MAIPK dan selepas itu persembahkan kepada baginda Sultan untuk diperkenankan," katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Penyerahan Smart TV kepada Sekolah Kebangsaan Raja Dihilir Ekram di sini pada Khamis.
Dalam majlis itu, Mohd Annuar yang juga Pengerusi UDA Holdings Berhad menyerahkan 13 unit televisyen pintar (Smart TV) bernilai RM22,100 melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares untuk kegunaan pihak sekolah.
Sejak Isnin tular di media sosial mengenai bayaran zakat fitrah Negeri Perak 1446H/2025 yang ditetapkan pada kadar RM10, RM16 dan RM27 seorang mengikut gred dan jenis beras yang lazim dimakan.
Kadar itu menunjukkan peningkatan antara RM2 hingga RM3 berbanding tahun lalu yang ditetapkan pada RM8 bagi yang menggunakan beras special tempatan (5 peratus hancur dan ke bawah) dan yang seumpama/setara.
Bagi beras super import, beras perang, beras wangi dan yang seumpama /setara kadar bayaran ialah RM16 manakala beras basmathi, beras pulut dan yang seumpama/setara, kadarnya RM24, tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Mohd Annuar berkata, pihaknya masih menunggu hasil siasatan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) ke atas empat imam yang dikenakan tindakan gantung sementara tugas susulan isu teks khutbah Jumaat, bulan lalu.
Menurutnya, laporan siasatan itu akan diteliti dan dipersembahkan kepada baginda Sultan untuk menentukan tindakan susulan.
"Tuanku Sultan terkejut bila mendapat maklum perkara itu berlaku dan bagi mendapat satu keadilan terhadap orang-orang terlibat, baginda titahkan gantung sementara tugas mereka dahulu.
"Jadi saya pun masih menunggu siasatan tersebut, jika ada asasnya kita angkat dan persembah kepada baginda kerana hak melantik dan beri tauliah kepada imam dan guru mengajar ini adalah hak Sultan," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa, teks khutbah yang disediakan JAIPk itu disediakan lebih awal mengikut takwin ditetapkan dan diperincikan barisan panel yang majoritinya berlatar belakangkan individu berpendidikan bahasa Arab.
"Kebetulan minggu itu bulan Syaaban dan ada satu peristiwa fitnah besar yang pernah berlaku dalam bulan Syaaban.
"Mungkin ada orang tertentu yang melakukan fitnah dalam ucapan politik merasakan seolah-olah khutbah ini ditujukan kepadanya. Seolah-olah makan cabai terasa pedas," katanya.
End
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

