Warga Bangladesh didakwa bunuh rakan sekerja

BATU PAHAT – Seorang lelaki warga Bangladesh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, pada Khamis atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya dengan menikamnya menggunakan pisau dalam kejadian pada minggu lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Molla Abdul Aziz, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, pekerja kilang itu didakwa membunuh Mochi Satindar, 30, warga Nepal, di asrama pekerja di Jalan Wawasan 14, Kawasan Perindustrian Sri Gading Fasa 2, antara jam 11.30 malam, 9 Februari hingga 12.30 tengah malam, 10 Februari lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali jika tidak dikenakan hukuman mati.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 14 April ini sebagai tarikh sebutan bagi mendapatkan laporan kimia, laporan forensik, laporan bedah siasat serta kehadiran jurubahasa Bangladesh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

