Warga emas didakwa buat persetubuhan luar tabii pada cucu tiri lelaki

SEREMBAN - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan melakukan persetubuhan luar tabii terhadap cucu tiri lelaki berusia enam tahun tiga bulan.
Tertuduh berusia 60 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap kanak-kanak lelaki berusia enam tahun tiga bulan.
Kesalahan berkenaan dilakukan di sebuah rumah pada waktu pagi dari Januari hingga Februari 2025.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan hendaklah juga disebat, jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut tidak mengaku bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada tarikh dan lokasi sama.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi tidak menawarkan jaminan, memandangkan tertuduh adalah datuk tiri mangsa.
Bagaimanapun katanya, pihaknya memohon jaminan tinggi serta syarat tambahan sekiranya mahkamah mahu memberikan jaminan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memberitahu, dia hanya bekerja kampung dengan pendapatan kira-kira RM1,000 dan tinggal bersama isteri.
Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, tidak mengganggu saksi dan mangsa sehingga kes selesai.
Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sekiranya ada dan memberi kerjasama dengan polis sekiranya dipanggil.
Sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen, 19 Mac ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

