Pelantikan JK Harmoni langkah kukuhkan perpaduan - YADIM

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan 25 tokoh agama sebagai ahli Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) selaras dengan semangat kesederhanaan dan keharmonian yang menjadi asas kepada kestabilan negara.

Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin berkata, pelantikan wakil daripada pelbagai agama termasuk 10 wakil Islam serta agama lain, mencerminkan pendekatan inklusif dan dialog konstruktif dalam menangani isu berkaitan keharmonian antara penganut agama.

"Ini juga selaras dengan prinsip Islam yang menggalakkan sikap toleransi, hormat-menghormati dan keterbukaan dalam hubungan antara masyarakat pelbagai kepercayaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Adi Anuar berkata, YADIM berpandangan bahawa usaha itu satu langkah penting dalam memupuk budaya damai dan harmoni dalam masyarakat.

Beliau berkata kewujudan JK HARMONI dapat mengukuhkan jalinan kerjasama antara pemimpin pelbagai agama serta mempromosikan pemahaman lebih mendalam terhadap nilai-nilai murni setiap kepercayaan.

Adi Anuar berkata, YADIM turut menghargai kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa menekankan kepentingan perpaduan nasional dan keharmonian antara penganut agama dalam kerangka Malaysia Madani.

"Komitmen beliau dalam memastikan keseimbangan antara kebebasan beragama dan sensitiviti masyarakat Islam di negara ini suatu langkah yang wajar dihormati dan disokong," katanya.

Sebagai sebuah institusi yang berperanan dalam menyebarluaskan dakwah Islamiah, YADIM komited untuk terus mendukung usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat.

"Kami percaya bahawa platform seperti JK HARMONI ini dapat menjadi mekanisme efektif dalam membentuk Malaysia MADANI yang utuh, berasaskan nilai-nilai kesederhanaan, keadilan, dan kesejahteraan bersama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seramai 25 tokoh agama dilantik sebagai ahli JK HARMONI dalam satu mesyuarat yang diadakan semalam.

Menurut jawatankuasa itu, mereka terdiri daripada 10 wakil agama Islam, empat wakil agama Buddha, empat wakil agama Kristian, dua wakil agama Hindu, satu wakil agama Sikh, dua wakil Tao, satu wakil Bahai dan wakil UNIFOR, Sarawak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!