X

Kindly register in order to view this article
!

Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Gambar hiasan.
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit dibuka mengukuh sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini susulan minat belian hari selepas mengalami keadaan sebaliknya semalam berikutan usaha pengaturan semula politik domestik selain faktor penularan koronavirus (Covid-19).

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan pada 4.2170/2220 berbanding dolar AS daripada paras 4.2240/2270 sebelum ini.

Seorang penganalisis berkata, ringgit pulih selepas Bank Negara Malaysia (BNM) memberi jaminan semalam untuk memantau keadaan di pasaran kewangan susulan perkembangan terbaharu membabitkan landskap politik negara.

"Walaupun pergerakan ringgit akan terus dipengaruhi oleh pasaran, operasi pasaran BNM akan memastikan mudah tunai yang mencukupi dan keadaan pasaran kewangan dalam keadaan teratur," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Sementara itu, penganalisis menyifatkan ringgit turut disokong oleh pelabur institusi yang memasuki pasaran dalam usaha menstabilkan mata wang tempatan.

Mengulas perkembangan di peringkat luaran, Ketua Strategis Pasaran AxiCorp, Stephen Innes berkata, trajektori mata wang Asia masih tidak jelas berikutan penularan kes Covid-19 yang hanya menyemarakkan lagi rasa bimbang di peringkat global.

"Dalam keadaan sedemikian, pelabur asing tidak berminat dengan aset berisiko di bawah perbendaharaan AS sekali gus meningkatkan permintaan dolar AS.

"Mata wang Asia akan terus goyah selagi kita tidak melihat perkembangan seperti peningkatan ketara pekerja kembali meneruskan aktiviti mereka di China dan People's Bank of China menyuntik rangsangan menerusi pembayaran dividen dan melonjakkan pengeluaran domestik," katanya.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kelompok mata wang utama lain.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0171/0209 daripada 3.0126/0152 semalam, namun susut berbanding yen kepada 3.8025/8081 daripada 3.7941/7978 sebelumnya.

Unit tempatan itu mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.4496/4565 daripada 5.4464/4520 dan rendah berbanding euro kepada 4.5754/5826 daripada 4.5678/5728. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus