Kes pemandu wanita rempuh pelajar UiTM Dungun dipindah ke Mahkamah Tinggi

DUNGUN - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Majistret di sini pada Khamis memerintahkan kes seorang wanita berdepan pertuduhan membunuh tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam kemalangan pada 9 Oktober tahun lepas dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman mengeluarkan perintah itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman untuk memindahkan kes yang dihadapi Norizan Ismail, 50, ke Mahkamah Tinggi.
Ibu kepada tiga anak itu didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Jamaludin, 20; di Jalan Pantai berhadapan UiTM Dungun pada 7.35 malam.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara minimum 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan sebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.
Bagaimanapun, Pengarah Pendakwaan Negeri Azizan Abdullah yang mengendalikan kes ketika itu memohon agar wanita itu dihantar untuk penilaian mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah disebabkan tingkah laku ditunjukkan tertuduh sepanjang prosiding berlangsung.
Pada 14 Januari lepas, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman dalam pengurusan kes bagi sebutan laporan psikiatri Norizan, yang diwakili peguam Norhabibah Norulalzahar berkata, pihaknya percaya wanita itu layak untuk dibicarakan dan memberi pengakuan di mahkamah.
Susulan itu, Majistret Nur Amirah Fatihah Osman menetapkan 20 Februari sebagai tarikh pendakwaan semula terhadap pemandu wanita tersebut selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan berdasarkan laporan psikiatri Norizan Ismail, 50, yang diterima dari Hospital Permai, Johor.
Dalam kejadian pada 9 Oktober lalu, wanita itu yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar berkenaan yang dalam perjalanan pulang ke kampus selepas menyertai aktiviti riadah dan makan malam.
Tiga mangsa yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan iaitu Ku Adib Aizad dan Khairil Anwar serta pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan, Muhammad Akmal.
Seorang lagi mangsa yang cedera dalam nahas itu ialah penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!