Pemandu Alza rempuh pelajar cemerlang dibebaskan dengan jaminan polis

Keadaan motosikal ditunggang Aysar Zahran selepas terbabit kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang pada Ahad lalu.
Keadaan motosikal ditunggang Aysar Zahran selepas terbabit kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang pada Ahad lalu.
A
A
A

KAJANG - Pemandu Perodua Alza yang merempuh lima kenderaan serta mengakibatkan seorang penuntut cemerlang bidang perakaunan maut dalam kemalangan pada Ahad lalu didapati bebas daripada pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, individu terbabit turut dibebaskan dengan jaminan.

"Saringan air kencing dijalankan terhadap lelaki berumur 27 tahun itu mendapati dia negatif daripada sebarang penggunaan dadah.

"Selain itu, semakan mendapati pemandu berkenaan tidak memiliki sebarang rekod lampau," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kes tersebut masih dijalankan.

"Setakat ini polis masih menunggu laporan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) bagi mengenal pasti punca kejadian," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang penuntut cemerlang bidang perakaunan yang pernah mendapat tempat kedua peringkat dunia dalam peperiksaan Program Asas Perakaunan (FIA) Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA), maut dalam kemalangan melibatkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat-Ampang.

Dalam kejadian itu, Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, meninggal dunia selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan kira-kira jam 4.45 petang.

Turut terlibat dalam kemalangan itu ialah tiga lagi motosikal dan sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang semuanya sedang dalam perjalanan dari Hulu Langat ke Ampang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!