Hebatnya panahan cinta lelaki Pakistan

TREND perkahwinan antara lelaki Pakistan dan wanita Kelantan dilaporkan semakin meningkat, dengan beberapa faktor utama yang mempengaruhi keputusan mereka untuk membina keluarga di Malaysia.
Ia susulan pendedahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang melaporkan jumlah wanita Kelantan berkahwin dengan lelaki Pakistan menunjukkan peningkatan sejak dua tahun lalu berdasarkan permohonan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang.
Menurut Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan, sepanjang 2024, seramai 34 warganegara Pakistan mengemukakan permohonan tersebut berbanding 27 orang pada tahun sebelumnya.
Selain paras rupa yang dianggap menarik seperti ketinggian, hidung mancung dan kulit cerah, sikap romantik serta faktor ekonomi dilihat turut memainkan peranan penting dalam menarik perhatian wanita tempatan.
Tiada masalah jika perkahwinan merentasi sempadan negara itu dibina atas dasar cinta, jujur dan ikhlas tanpa ada sebarang agenda atau muslihat di sebaliknya.
Namun, yang sering menimbulkan masalah apabila perkahwinan dengan wanita tempatan itu berlaku hanyalah kerana mahu mendapatkan keistimewaan dalam perniagaan, memudahkan mereka tinggal lebih lama di Malaysia atau mahu memohon warganegara selepas 10 tahun.
Justeru, golongan wanita perlu berhati-hati, jangan terpedaya dan tidak mudah ‘cair’ dengan pujuk rayu, janji manis serta perhatian istimewa lelaki Pakistan yang mungkin hanya mahu mengambil kesempatan.
Pada masa sama, peraturan perkahwinan yang melibatkan warga asing juga perlu dipertingkatkan kerana jika berlaku sebarang masalah, sudah pasti ia memberi kesan kepada masa depan perkahwinan dan kesejahteraan keluarga terutama jika pasangan asing itu pulang ke negara asal tanpa bertanggungjawab terhadap isteri serta anak-anak yang ditinggalkan.
Peraturan lebih ketat itu demi memastikan kepentingan semua pihak terjaga. Ia juga bertujuan memelihara kebajikan wanita warga tempatan daripada pihak-pihak yang hanya mahu mempergunakan mereka.
Benar, cinta itu buta tetapi janganlah sampai membutakan hati.
Fikir sedalam-dalamnya sebelum mengambil keputusan terbesar dalam kehidupan agar tidak menyesal di kemudian hari.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
