‘Pinjam’ kaki kakak ketika di sekolah

Raisha (kanan) setia membantu menolak kerusi roda Amara (kiri) yang tidak dapat berjalan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Raisha (kanan) setia membantu menolak kerusi roda Amara (kiri) yang tidak dapat berjalan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Sepasang kembar berusia 10 tahun, Nur Aisy Raisha dan Nur Aisy Amara Mohd Saiful Hasbul, membuktikan bahawa kasih sayang antara adik-beradik mampu mengatasi segala kekurangan fizikal.

Walaupun Amara dilahirkan tanpa kaki kanan dan kaki kiri yang tidak sempurna, kakaknya Raisha sentiasa setia membantu, terutama dalam urusan harian di sekolah.

Setiap hari, Raisha menolak kerusi roda Amara ke Sekolah Kebangsaan Pangkal Kalong, tempat mereka belajar dalam kelas yang sama.

Semasa waktu rehat, Raisha memastikan adiknya dapat ke kantin dan menikmati masa makan bersama rakan-rakan.

Keakraban mereka begitu mendalam sehingga apabila Amara dinaikkan kelas tahun lalu, kedua-duanya menangis kerana tidak mahu berpisah.

Raisha (kanan) dan Amara (tengah) bersama Nur Azrin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Raisha (kanan) dan Amara (tengah) bersama Nur Azrin. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Akhirnya, atas permintaan mereka, guru membenarkan mereka kekal dalam kelas yang sama.

Ibu mereka, Nur Azrin Azmi, 34, seorang ibu tunggal yang bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan RM1,500 sebulan, mengakui bahawa Raisha adalah ‘tulang belakang’ bagi Amara.

“Raisha banyak jaga adik dia, dia macam pinjamkan ‘kaki’ untuk kembar dia.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun fizikal mereka berbeza, jiwa mereka tetap ‘kembar’ dan tak dapat dipisahkan,” kata Nur Azrin.

Menurutnya, pasangan kembar seiras, sulung dan bongsu tersebut lahir pramatang ketika usia kandungan Nur Azrin tujuh bulan.

“Raisha juga disahkan menghidap jantung berlubang tetapi sudah menjalani pembedahan ketika berusia 13 bulan dan masih bayi.

“Dia sembuh sepenuhnya dan kini menjadi kakak yang bertanggungjawab dan begitu menyayangi adiknya sepenuh hati selain sentiasa ada untuk membantu apa-apa sahaja keperluan adik yang tidak dapat berjalan,” katanya yang tinggal di Kampung Tok Langgar, Kok Lanas, di sini.

Raisha (kanan) dan Amara (kiri) yang akrab dan tidak dapat dipisahkan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID
Raisha (kanan) dan Amara (kiri) yang akrab dan tidak dapat dipisahkan. FOTO SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID

Selain cabaran fizikal, keluarga ini juga menghadapi kekangan kewangan, bagaimanapun Amara menerima bantuan RM1,800 setahun daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat yang dapat menampung keperluan harian dan perubatan.

“Jika tidak berkerusi roda, Amara akan bergerak dengan cara mengesot.

“Kami baru saja menerima kerusi roda baharu yang lebih ringan daripada Pusat Transformasi Orang Kurang Upaya Universiti Sains Malaysia-Majlis Agama Islam Adat dan Istiadat Melayu Kelantan dan dapat membantu Raisha membawa adiknya,” katanya Nur Azrin.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!