Kerajaan Perak bakal tumbang?

A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak dijangka tumbang apabila Pakatan Harapan (PH) negeri itu hilang majoriti berikutan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada gabungan itu semalam.

Dengan pengumuman tersebut sekali gus akan menjadikan PH Perak hanya tinggal 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 59 kerusi apabila dua kerusi Bersatu iaitu DUN Chenderiang yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan DUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin dijangka turut keluar daripada pakatan tersebut.

Selain itu, satu-satunya wakil rakyat bebas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi turut dijangka keluar daripada PH kerana sokongan beliau selama ini terhadap Ahmad Faizal sekali gus mengurangkan kerusi DUN PH menjadi 28 yang terdiri daripada 18 kerusi DAP, enam dari Parti Amanah Negara (Amanah) dan empat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pada itu, kerusi DUN pembangkang Perak juga kekal sebanyak 28 kerusi iaitu 25 daripadanya merupakan kerusi UMNO manakala selebihnya daripada Pas.

Keadaan itu sekali gus menjadikan kerajaan Perak sebagai kerajaan tergantung apabila masing-masing tidak mempunyai majoriti membentuk kerajaan.

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah, Tan Sri Nordin Kardi berkata, jika Bersatu bergabung dengan pembangkang, kerajaan baharu akan terbentuk di Perak.

Menurutnya, bagaimanapun situasi di Perak akan bergantung kepada apa yang berlaku kepada kerajaan Pusat.

"Saya melihat walaupun gabungan pembangkang dan Bersatu mempunyai majoriti mudah mereka boleh membentuk kerajaan baharu jika kerajaan pusat juga bertukar.

Artikel Berkaitan:

"Kalau kerajaan Perak itu tak kuat, mereka mesti baca keadaan kerajaan di Pusat. Jika tidak sukar untuk dapatkan bajet daripada kerajaan Pusat dan Perak akan jadi negeri lemah," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Zainol Fadzi yang dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya mengetahui tentang keputusan keluar daripada PH itu melalui media sosial.

Beliau yang juga Setiausaha Bersatu Perak menjelaskan setakat ini tidak ada sebarang arahan pucuk pimpinan diterima mengenai situasi di Perak.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, pihaknya akan terus bersama Muafakat Nasional menantikan sebarang kemungkinan.

Katanya, semua sedang menanti arahan dikeluarkan pucuk pimpinan bagi menentukan tindakan seterusnya terutama di Perak.

Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, kerajaan Perak boleh disifatkan sebagai tergantung ekoran pengumuman Bersatu yang bertindak keluar PH.

Namun katanya, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada pembentukan kerajaan di peringkat Pusat.

Kedudukan kerusi DUN di Perak

Pakatan Harapan: 28

UMNO: 25

Pas: 3

Bersatu: 2

Bebas: 1