Dua kampung di Karak dilanda banjir

KUANTAN - Hujan lebat sejak Selasa menyebabkan beberapa kawasan sekitar Karak, Bentong dilanda banjir pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V Arumugam yang turun meninjau lokasi terjejas berkata, sebanyak 38 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Karak Setia selepas kediaman mereka dinaiki air.
Menurutnya, kampung terjejas ialah Kampung Karak Setia dan Kampung Mangin, Karak.

"Nasib penduduk terjejas mendapat perhatian Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman yang turut hadir ke lokasi bersama pegawai Pejabat Daerah Bentong, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta ketua-ketua kampung.
"Terima kasih kepada semua agensi, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Pejabat Daerah Bentong, Pejabat Pendidikan Daerah Bentong dan agensi lain yang terlibat di dalam operasi bantuan banjir," ujar Pengerusi MIC Pahang itu melalui hantaran di Facebooknya.

Beliau yang mesra dengan panggilan Cikgu Aru meminta semua mangsa mengutamakan keselamatan dan patuh kepada arahan serta nasihat pihak berkuasa.
"Semoga banjir ini segera surut dan tidak mendatangkan sebarang musibah," ujarnya.
Sementara itu, berdasarkan laporan Info Bencana JKM, seramai 102 mangsa daripada 29 keluarga kini berada di PPS SMK Karak Setia sehingga jam 6 petang Rabu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

