Lori terbalik, orang ramai dibenar kutip telur bertaburan di LPT2

Orang ramai tidak melepaskan peluang mengutip telur yang tercampak selepas lori yang membawa barangan itu terbalik dalam kejadian di KM293.8 LPT2 di Kemaman pada Rabu.
Orang ramai tidak melepaskan peluang mengutip telur yang tercampak selepas lori yang membawa barangan itu terbalik dalam kejadian di KM293.8 LPT2 di Kemaman pada Rabu.
A
A
A

KEMAMAN - Orang ramai dibenarkan mengutip lebih 70,000 biji telur ayam yang bertaburan selepas lori membawa muatan itu terbalik dalam kejadian di Kilometer 293.8 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) selepas susur keluar Plaza Tol Chukai di sini pada Rabu.

Kelindan lori, Mohd Izzat Izzudin, 25, berkata, lori yang dinaiki bersama rakannya terbabas ke kiri jalan dan terbalik selepas dipercayai dirempuh sebuah lori barangan sejuk beku dari arah belakang dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan menghantar bekalan telur dari Raub, Pahang ke Kuala Terengganu.

"Kami bawa kira-kira 2,500 papan mengandungi kira-kira 78,000 biji telur ayam. Masih ada telur yang elok dan terdapat juga telur yang telah rosak.

"Pemilik syarikat telah mengizinkan telur ini diberikan kepada orang ramai bagi memastikan kawasan kemalangan ini dapat dibersihkan dengan segera dan mengelak pembaziran," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini pada Rabu.

Menurut Mohd Izzat, dia dan seorang lagi kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang mengutip telur yang bertaburan di atas jalan.

Sebuah lori terbabas dan terbalik selepas dipercayai dirempuh sebuah lori barangan sejuk beku dari arah belakang dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi pada Rabu.
Sebuah lori terbabas dan terbalik selepas dipercayai dirempuh sebuah lori barangan sejuk beku dari arah belakang dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Seorang penduduk, Othman Ahmad, 53, berkata, dia bersama anaknya ke lokasi tersebut untuk mendapatkan telur selepas melihat rakaman video yang ditularkan di laman sosial.

"Sebelum datang ke sini, saya bertanya dahulu sama ada boleh ambil atau tidak telur yang jatuh.

"Selepas dapat tahu bahawa pemilik syarikat telur itu beri kebenaran, saya dan anak datang ke sini," katanya.

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Ismail Azemi, 46, berkata, telur yang diperoleh itu boleh digunakan sebagai persiapan menyambut Ramadan.

Selain itu, katanya, sebahagian telur yang dikutip itu akan turut diberikan kepada jiran terdekat.

"Saya berterima kasih kerana pemilik syarikat ini bermurah hari memberikan telur ini untuk dikutip oleh orang ramai bagi mengelak pembaziran.

"Sayang kalau tak kutip telur ini sebab banyak yang masih elok. Semoga ada rezeki yang lebih baik untuk pemilik telur ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!