Pemandu maut, lori terbalik di selekoh

GUA MUSANG - Seorang pemandu maut selepas lori yang dipandu dipercayai terbalik akibat hilang kawalan di jalan Kampung Panggung Lalat di sini pada Ahad.
Dalam kejadian lebih kurang 2.15 petang itu lelaki yang berusia 31 tahun dikatakan memandu lori jenis santaiwong meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, hasil siasatan awal mendapati lori terbabit dinaiki oleh mangsa serta seorang penumpang lelaki berusia 21 tahun.
"Lori terbabit dari arah jalan Kongsi Beta Balak menghala ke Beta Balak Luar. Ketika sampai di lokasi kejadian, lori terbabit melalui selekoh ke kanan jalan dan telah hilang kawalan serta terbalik.
"Akibat kemalangan tu, pemandu lori terperangkap namun berjaya dikeluarkan oleh orang awam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan awal.
Ujarnya, pemandu tersebut yang meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk bedah siasat.
Choon Foo memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Siasatan lanjut masih dijalankan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian 09-9121222 atau 013-3010408," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

