MPT Bersatu tolak perletakan jawatan Tun M sebagai pengerusi parti

Marzuki
Marzuki
A
A
A
PETALING JAYA - Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti menolak surat perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi Bersatu.

Menurut Marzuki, selain itu, MPT dan ahli-ahli Parlimen Bersatu juga telah membuat keputusan menyokong bekas pengerusi Bersatu itu untuk terus kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia.

"Ini adalah satu keputusan yang jelas dan hendak saya jelaskan juga di sini bahawa kita mahu membuat penafian sekeras-kerasnya bahawa tidak ada seorang pun ahli Parlimen atau pimpinan Bersatu keluar parti.

"Kita masih dalam satu barisan dan kita telah membina parti ini dan kita mengharungi apa juga halangan dan rintangan, saya pasti Bersatu dapat menghadapi kemelut ini dengan jalan terbaik," katanya malam tadi.

Beliau menegaskan perkara itu ketika ditemui media selepas berakhirnya mesyuarat MPT Bersatu dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Menara Yayasan Selangor di sini malam tadi.

Marzuki berkata, keputusan itu dibuat oleh Presiden Bersatu itu sendiri dan dalam mesyuarat MPT itu juga pimpinan tertinggi Bersatu telah bersetuju untuk keluar dari Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, mesyuarat tergempar MPT Bersatu itu diadakan tanpa kehadiran bekas pengerusinya, Dr Mahathir sebaliknya hanya dihadiri sebahagian MPT parti antaranya Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Singkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Abdul Rahman dan Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun.

Hadir sama, Ketua Penerangannya, Dr Mohd Radzi Jidin serta bekas Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof serta Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Kepemimpinan Bersatu lain yang juga hadir mesyuarat itu ialah bekas Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik.

Artikel Berkaitan: