Ancaman lanun Indonesia di Pantai Remis membimbangkan

Foto hiasan. (Gambar kecil: May Ing)
Foto hiasan. (Gambar kecil: May Ing)
A
A
A

IPOH - Nelayan di Pantai Remis, Manjung berdepan ancaman lanun dari Indonesia yang semakin berleluasa sejak akhir-akhir ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Remis, Wong May Ing berkata, sejak Disember 2024 sehingga kini pihaknya menerima tidak kurang lima aduan berhubung ancaman di perairan Selat Melaka itu.

Katanya, nelayan yang menjalankan operasi laut dalam melibatkan bot kelas C dan C2 bukan sahaja berdepan dengan cabaran cuaca yang buruk tetapi juga ancaman daripada lanun yang ganas dan tidak berperikemanusiaan.

"Ada kes yang melibatkan penculikan, dan ada juga yang melarikan diri selepas menyedari kehadiran kapal Indonesia. Kejadian ini telah memberi kesan serius kepada operasi nelayan di perairan negara kita.

"Malah, pada tahun 2023, terdapat kes di mana pekerja asing atas bot nelayan telah ditembak mati oleh kumpulan lanun bersenjata. Dalam keadaan sedemikian, nelayan tidak mempunyai pilihan lain selain menyerah diri," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

May Ing berkata, selain lanun, nelayan Malaysia juga sering berhadapan dengan tindakan kapal penguat kuasa Perikanan Indonesia yang memasuki perairan negara dan menunda bot nelayan Malaysia ke Indonesia.

Jelasnya, penguat kuasa negara jiran itu mendakwa nelayan tempatan telah menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Indonesia, sedangkan sempadan maritim di Selat Melaka antara kedua-dua negara masih belum dimuktamadkan.

Menurutnya, pada tahun 2012, Malaysia dan Indonesia telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kawasan bertindih.

Katanya, MoU tersebut menetapkan bahawa selagi isu sempadan maritim belum diselesaikan, kedua-dua pihak tidak boleh menjalankan aktiviti di kawasan tersebut dan hanya boleh mengusir kapal yang memasuki tanpa kebenaran tanpa menggunakan kekerasan atau penahanan.

Artikel Berkaitan:

"Malangnya, Indonesia kerap melanggar MoU ini dengan bertindak tegas menahan bot nelayan Malaysia, sedangkan Malaysia hanya mengusir kapal Indonesia keluar dari perairan kita.

"Malaysia hanya akan menahan dan melucutkan hak kapal yang sah melanggar undang-undang, tanpa meminta tebusan bagi pembebasan kapal tersebut, berbeza dengan tindakan pihak berkuasa Indonesia," katanya.

Sementara itu, May Ing berkata, dalam masa terdekat, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak bagi membincangkan strategi yang lebih berkesan untuk menangani ancaman lanun tersebut.

Katanya, perbincangan juga turut dibuat berkaitan tindakan kecemasan yang boleh diambil oleh nelayan sekiranya mereka berdepan dengan ancaman daripada lanun atau ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia bagi mengurangkan risiko kerugian dan kehilangan nyawa.

Dalam pada itu, beliau akan membangkitkan isu pertindihan perairan dengan Indonesia ketika hadir ke sesi dialog dengan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian pada minggu depan.

Jelasnya, memandangkan Malaysia merupakan Pengerusi Asean, isu tersebut perlu dibawa ke peringkat rundingan rasmi bersama Indonesia bagi mencari penyelesaian muktamad.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!