Kerani terpedaya pelaburan saham, lesap RM1 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang wanita bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah RM1 juta apabila terjebak dalam satu pelaburan saham di laman media sosial Facebook.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes penipuan saham itu daripada seorang wanita berusia 65 tahun.

Beliau berkata, satu kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kata beliau, siasatan awal mendapati mangsa berminat menyertai pelaburan saham di Facebook yang dikenali sebagai pelaburan Baird pada Disember 2024.

"Mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang ditadbir oleh individu bernama Wendy Lim dan dijanjikan pulangan lumayan sehingga 40 peratus.

"Bagi tujuan pelaburan, mangsa diminta untuk membuat 11 transaksi bayaran melibatkan tiga akaun bank berbeza berjumlah RM1 juta.

"Pada Februari 2025, mangsa bercadang hendak membuat pengeluaran keuntungan, namun diminta terlebih dahulu untuk mendepositkan wang sebanyak RM309,208," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Ekoran itu, menurut beliau, mangsa menyedari telah diperdaya kerana gagal memperoleh keuntungan seperti yang dijanjikan dan mengalami kerugian sebanyak RM1 juta.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh suspek adalah dengan memperdaya mangsa melalui iklan pelaburan di platform Facebook.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran pelaburan dalam platform media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah.

Tambahnya, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat pelaburan melalui aplikasi kewangan atau pelaburan yang tidak diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

"Jika meragui sebarang panggilan yang mencurigakan, orang ramai boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 untuk semakan, nasihat atau aduan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!