Pas Perak minta penyokong bertenang

Kenyataan Razman yang dimuat naik di Facebook Pas Perak hari ini.
Kenyataan Razman yang dimuat naik di Facebook Pas Perak hari ini.
A
A
A

IPOH - Pas Perak meminta semua penyokongnya bertenang dalam menghadapi sebarang situasi terkini politik negara.

Pesuruhjayanya, Razman Zakaria berkata, kepercayaan dan ketaatan yang tinggi daripada ahli dan penyokong atas setiap keputusan yang diputuskan oleh kepimpinan parti sangat diperlukan ketika ini.

Beliau berkata, segala keputusan parti peringkat negeri tertakluk kepada keputusan yang diputuskan oleh kepimpinan tertinggi Pas Pusat.

"Pas Perak komited menjunjung amalan demokrasi berparlimen dan sentiasa mendukung segala kepentingan rakyat khususnya di negeri Perak yang kita cintai.

"Kerajaan Perak akan terbentuk dalam keadaan harmoni pada bila-bila masa dari sekarang. Mohon diberikan kepercayaan dan ketaatan yang tinggi atas setiap keputusan yang diputuskan oleh kepimpinan parti," katanya dalam kenyataan media yang dimuat naik di Facebook Pas Perak sebentar tadi.

Razman dalam pada itu meminta seluruh rakyat Perak melakukan solat hajat dan bermunajat kepada ALLAH agar dipermudahkan segala urusan dalam pembentukan kerajaan baharu Perak kelak.

Kerajaan Perak antara yang terkesan berikutan pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Dengan pengumuman tersebut, sekali gus akan menjadikan PH Perak hanya tinggal 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 59 kerusi apabila dua kerusi Bersatu iaitu DUN Chenderiang yang disandang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan DUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin keluar daripada pakatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak dan bersama 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN di dalam blok pembangkang di negeri ini.