Budak 9 tahun hidap leukemia perlu dana rawatan CAR-T RM1.2 juta

BUKIT MERTAJAM - Kanak-kanak perempuan yang menghidap kanser darah atau leukemia, Grace Lim Jia Hwey, 9, memerlukan bantuan dana sebanyak RM1.2 juta bagi menjalani rawatan.
Pengerusi badan amal, One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya telah melancarkan tabung kutipan derma untuk mengumpul sumbangan orang ramai selepas pihaknya menerima permohonan daripada keluarga kanak-kanak itu.
Menurutnya, Grace yang disahkan menghidap Leukemia Limfoblastik Akut (B-ALL) sejak lima tahun lalu perlu menjalani rawatan terapi sel atau CAR-T di Singapura yang merupakan satu-satunya rawatan dan harapan terakhir untuk sembuh.
“Kos rawatan yang sangat tinggi menyebabkan ibu bapanya buntu. Mereka telah berusaha mendapatkan bantuan dari pelbagai pihak, tetapi masih gagal mencukupkan sebanyak RM1.2 juta.
“Kini, mereka hanya mampu merayu ihsan orang ramai untuk membantu menyelamatkan anak mereka.
“Bapanya, Jason Lim Jin Siang, 45, bekerja sebagai pengurus jualan di sebuah syarikat komputer dan ibunya, Seow Pei Chyn, 42, seorang suri rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sui Hau berkata, penyakit itu dikesan pada Januari 2022 semasa Grace berusia 4 tahun dan menjalani ujian sumsum tulang selepas deman yang berulang.
Katanya, kanak-kanak itu telah menjalani rawatan kemoterapi selama satu setengah tahun sebelum dia dapat pergi ke sekolah dan menikmati kehidupan kanak-kanaknya selama 23 bulan.
“Namun, pada Disember 2023, ketika berusia 8 tahun, sel kansernya dikesan kembali aktif selepas menunjukkan tanda-tanda tidak sihat seperti wajahnya pucat, tubuh semakin kurus dan sering menggigil kesejukan.
“Grace kemudian menjalani pemindahan sumsum tulang daripada pendermaan oleh adik lelakinya yang berusia 6 tahun ketika itu,” katanya.
Tambah Sui Hau, selepas tempoh 100 hari pemerhatian sejurus pemindahan sumsum tulang, takdir sekali lagi menguji keluarganya dan kanak-kanak itu apabila sel kanser dikesan kembali aktif.
“Oleh kerana ini adalah kali kedua penyakit itu berulang, doktor mencadangkan dia menjalani rawatan CAR-T di Singapura.
“Kos rawatan yang diperlukan dianggarkan antara SGD400,000 hingga SGD450,000 atau bersamaan sekitar RM1.3 juta dan kini masih kurang RM1.2 juta dana.
“Dia dijadualkan berangkat ke Singapura pada 21 Februari ini untuk menjalani pemeriksaan susulan iaitu sehari selepas hari jadinya, dan diteruskan dengan rawatan CART-T yang kadar pemulihannya dianggarkan 80 peratus,” katanya.
Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (nombor akaun: 3201428817) atau layari onehopecharity.org.
@sinarharianonline Moga ada yang sudi membantu kanak-kanak ini #fyp #leukemia #danarawatan#sinarharian Breaking News - DM Production
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

