Kesedaran awal kunci utama tangani kanser kanak-kanak

Kanser kanak-kanak hanya dapat dikesan melalui pemerhatian gejala dan tanda awal. Foto hiasan
Kanser kanak-kanak hanya dapat dikesan melalui pemerhatian gejala dan tanda awal. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui cabaran utama dalam menangani peningkatan kes kanser dalam kalangan kanak-kanak adalah ketiadaan program saringan khusus yang bersesuaian bagi pengesanan awal penyakit itu.

KKM menerusi satu kenyataan memaklumkan, berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) program saringan percuma bagi kanser kanak-kanak sukar dilaksanakan kerana tiada bukti kukuh menyokong keberkesanannya dalam populasi umum.

“Secara amnya, saringan untuk kanser kanak-kanak tidak bersesuaian kerana tiada bukti saintifik yang menyokong pelaksanaannya secara meluas.

“Namun, dalam kes tertentu, saringan boleh dipertimbangkan bagi populasi berisiko tinggi seperti pesakit retinoblastoma yang ada sejarah keluarga.

“Bagaimanapun, punca genetik hanya menyumbang kepada sebilangan kecil kes kanser dalam kalangan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.

Jelas KKM, kanser kanak-kanak hanya dapat dikesan melalui pemerhatian gejala dan tanda awal.

“Pengesanan awal kanser kanak-kanak sangat bergantung kepada kesedaran ibu bapa dan pengamal perubatan mengenai simptom dan tanda-tanda awal.

“Namun, pengetahuan ibu bapa mengenai perkara ini masih rendah, menyebabkan mereka kurang peka terhadap sebarang perubahan kesihatan anak-anak,” menurut KKM.

Justeru, usaha meningkatkan kesedaran masyarakat, terutamanya ibu bapa, amat penting agar mereka dapat mengenal pasti tanda-tanda awal penyakit itu dan segera mendapatkan rawatan.

Artikel Berkaitan:

Menurut KKM, strategi terbaik dalam menangani penyakit ini adalah menerusi pengesanan awal yang melibatkan kesedaran gejala, penilaian klinikal serta akses segera kepada rawatan.

“Apabila kanser dikesan lebih awal, pesakit lebih berpeluang untuk sembuh, kos rawatan dapat dikurangkan, dan kualiti hidup mereka dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, KKM menafikan dakwaan bahawa suntikan vaksin Covid-19 menjadi punca peningkatan kes kanser, termasuk dalam kalangan kanak-kanak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!