Kumpulan Azmin dakwa cuba gagalkan konspirasi jatuhkan Tun M

Azmin, Zuraida
Azmin, Zuraida
A
A
A

SHAH ALAM - Kumpulan yang menyokong bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertindak keluar daripada parti itu bertujuan untuk menggagalkan konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut satu kenyataan bersama yang dikeluarkan, langkah tersebut dilakukan untuk menjamin keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kestabilan dan kelangsungan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan untuk meningkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat seperti yang terkandung Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Jelas mereka, langkah itu terbukti benar apabila pihak yang terlibat telah menyedari kesilapan yang mereka lakukan dan meminta Dr Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri.

"Justeru itu kami telah mengambil langkah proaktif untuk menggagalkan konspirasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri di tengah-tengah penggal.

"Kami menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan pihak yang melabel kami sebagai pengkhianat.

"Sebaliknya mereka yang berusaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri di tengah penggal adalah pengkhianat sebenarnya kerana mereka lebih mementingkan agenda mengambil kuasa Perdana Menteri daripada pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang bertujuan memulihkan ekonomi serta meningkat kesejahteraan rakyat," katanya di sini hari ini.

Kumpulan itu terdiri daripada Zuraida Kamaruddin, Datuk Saifuddin Abdullah, Datuk Mohd Rashid Hasnon, Datuk Seri Dr Santhara Kumar, Datuk Mansor Othman, Datuk Kamaruddin Jaafar, Baru Bian, Ali Biju, Willie Mongin dan Jonathan Yasin.

Hari ini, Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR memutuskan Mohamed Azmin Ali serta Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin dipecat sebagai anggota parti berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Tindakan drastik itu diambil kerana tindakan kedua-dua individu berkenaan pada Ahad dianggap satu pengkhianatan terbuka dan mampu menjejaskan kestabilan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu, kumpulan itu berkata, pada Mesyuarat Majlis PH yang berlangsung Jumaat lalu, sebahagian pimpinan PH telah memaksa Dr Mahathir untuk menentukan tarikh melepaskan jawatan sebagai perdana menteri.

"Usaha ini kemuncak daripada kempen mereka untuk menguar-uarkan isu peralihan kuasa sebagai agenda utama PH.

"Kempen ini telah dimulakan sejak beberapa bulan yang lalu dengan kekerapan meningkat dari semasa ke semasa sehingga mengalihkan pandangan rakyat daripada usaha untuk memberikan tumpuan kepada agenda pemulihan ekonomi dan reformasi institusi.

"Kempen ini telah menghakis keyakinan rakyat dan masyarakat pelabur terhadap kewibawaan kerajaan PH," ujarnya.

Selain itu, terdapat pelbagai usaha dilakukan untuk memberi tekanan kepada Dr Mahathir yang sedang mempersiapkan negara untuk menganjurkan Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada bulan Disember depan.

"Persidangan ini amat penting kerana ia memberi peluang kepada usaha menampilkan Malaysia sebagai model transisi demokrasi yang mengutamakan agenda aspirasi rakyat.

"Kami yakin bahawa percubaan memaksa Perdana Menteri menentukan tarikh peralihan kuasa sebagai usaha jahat untuk menjadikan Perdana Menteri sebagai 'lame duck' PM (PM yang lemah)," katanya.