Khilaf Peguam Negara

A
A
A

Peguam Negara telah melakukan khilaf dalam membuat penilaian untuk menggugurkan pertuduhan terhadap 12 orang tertuduh yang dikaitkan dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Terdapat sebanyak 34 pertuduhan yang dikenakan terhadap 12 orang tertuduh ini.

Peguam Negara ketika menyatakan pendirian beliau kenapa semua 12 orang tertuduh itu digugurkan daripada pendakwaan telah menyenaraikan banyak alasan dalam kenyataan rasminya. Namun, tidak ada satu pun alasan yang disebutkan oleh Peguam Negara itu meyakinkan saya. Ada banyak persoalan yang bermain di minda saya setelah membaca kenyataan rasmi Peguam Negara tersebut.

Peguam Negara ada menyatakan bahawa terdapat enam tertuduh telah dituduh bagi kesalahan yang dikatakan berlaku di antara Mac dan Disember 2014.

Namun, Peguam Negara berpendapat bahawa mereka tidak sesuai untuk dituduh kerana kononnya ia bercanggah dengan kepentingan awam bagi enam orang ini dibicarakan pada 2020 atas kesalahan-kesalahan yang dikatakan dilakukan enam tahun lepas. Peguam Negara berpendapat bahawa peredaran masa adalah tidak boleh diterima bagi kes seumpama ini.

Saya kurang pasti kenapa isu masa kejadian menjadi alasan dalam pertuduhan jenayah sedangkan tidak wujud isu had masa dalam pertuduhan berkenaan kes jenayah berbanding kes sivil yang sememangnya mempunyai had masa untuk sebarang tindakan.

Selain itu, Peguam Negara turut menyatakan kegusaran seandainya pihak pembelaan akan mencabar di mahkamah bahawa LTTE tidak bertanggungjawab terhadap keganasan dalam negara asalnya, Sri Lanka apatah lagi mempunyai impak ke atas urusan seharian orang-orang awam di Malaysia, walaupun LTTE masih lagi digazet di bawah undang-undang kita sebagai kumpulan pengganas.

Bagi saya, ini adalah satu kegusaran yang tidak masuk akal dan tidak relevan. Biar apa hujahan balas yang akan dikeluarkan atau digunakan oleh pihak pembelaan, bukan kerja dan tanggungjawab Peguam Negara untuk memikirkannya bagi pihak pembelaan.

Selain itu, Peguam Negara turut menyatakan kegusaran beliau mengenai senarai kumpulan pengganas yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kononnya senarai tersebut tidak dikemaskini dan tidak dikaji semula setiap enam bulan seperti yang termaktub dalam Seksyen 66B(9) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Artikel Berkaitan:

Ini bukan kerja Peguam Negara dalam menentukan perkara sebegini. KDN menjalankan tugasnya dalam mengeluarkan senarai kumpulan pengganas dan adalah menjadi tugas Peguam Negara untuk mengikut senarai yang dikeluarkan oleh KDN, memandangkan ia adalah di bawah bidang kuasa KDN. Jika ada pun hujahan untuk mempertikaikan senarai kumpulan pengganas tersebut, ia sepatutnya menjadi tugasan pihak pembelaan, bukannya Peguam Negara.

Biarkan pihak pembelaan menjalankan tugas mereka untuk mempertikaikan apa yang mereka rasakan perlu di mahkamah. Mengapa Peguam Negara pula yang hendak menolong pihak pembelaan?

Biar apa pun alasan yang diberikan, tindakan beliau dalam menggugurkan pertuduhan terhadap 12 orang tertuduh berkaitan LTTE ini akan memberikan impak buruk kepada imej Jabatan Peguam Negara.

Sepatutnya, Peguam Negara perlu terus mengekalkan pendakwaan terhadap kesemua tertuduh ini dan biarkan mahkamah yang menentukan sama ada mereka benar-benar bersalah atau tidak. Bukan kerja dan tanggungjawab Peguam Negara untuk menentukan sama ada mereka ini bersalah atau tidak, walaupun Peguam Negara mempunyai kuasa mahu mendakwa atau tidak.

Tindakan beliau dalam menggugurkan pertuduhan terhadap 12 orang tertuduh berkaitan LTTE ini akan memberikan impak buruk kepada imej Jabatan Peguam Negara.”

* Haeme Hasim ialah peguam di firma guaman, Tetuan Haeme Lew