Polis rampas dadah bernilai lebih RM4juta dalam but kereta

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki tempatan dipercayai seorang transporter ditahan bersama dadah jenis syabu bernilai lebih RM4 juta di tepi jalan di sebuah pusat perniagaan di Sungai Petani, pada Ahad.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, dadah seberat 51 kilogram (kg) dan pil ekstasi seberat 14.9 kg itu dipercayai untuk dihantar ke pasaran luar negara.
Menurutnya, lelaki berusia 46 tahun itu ditahan pada jam 7 pagi oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hasil maklumat dan risikan dilakukan.
"Pemeriksaan pada badan suspek menemukan kunci kereta yang membawa kepada penemuan sejumlah dadah di dalam but kereta Honda Civic RS berwarna putih yang diletakkan di kawasan parkir.
"Polis menemui dadah jenis syabu dan pil ekastasi yang disorok dalam empat beg kanvas besar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Selasa.
Fisol berkata, rampasan dadah syabu itu boleh digunakan untuk 255,000 orang penagih dadah manakala bagi pil ekstasi boleh digunakan oleh 28,000 orang penagih.
“Semakan mendapati, suspek yang berasal dari Johor itu mempunyai satu rekod jenayah lampau.
"Siasatan awal mendapati modus operandi melibatkan suspek membawa dadah tersebut untuk diserahkan kepada orang lain, namun kes ini masih dalam siasatan lanjut,” ujarnya.
Menurutnya lagi, suspek direman tujuh hari bermula Isnin untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kejayaan ini hasil usaha Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM bagi memastikan aktiviti pengedaran dadah dapat ditumpaskan.
“Polis juga sentiasa memerlukan kerjasama dan penglibatan masyarakat dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

