Lip Eng kritik Abdul Hadi guna penjodoh bilangan 'ekor'

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai seorang yang angkuh dan rasis apabila menggunakan penjodoh bilangan ‘ekor’ yang merujuk kepada orang semasa perbahasan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, perkara itu sangat memalukan bagi seorang yang memperjuangkan bahasa Melayu jika ia adalah satu kesilapan.
Bagaimanapun katanya, jika disengajakan, ia bukan sahaja mencerminkan kejahilan dalam bahasa, tetapi juga sikap angkuh dan rasis yang tidak sepatutnya wujud dalam Dewan Rakyat.
“Saya menyambut baik kesedaran Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tentang kepentingan memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Namun, apa gunanya bercakap soal martabat bahasa jika pemimpinnya sendiri gagal menggunakannya dengan betul?
“Dalam perbahasan di Parlimen semalam, beliau dengan selamba berkata, ‘.. dalam majlis orang putih ada tiga ekor sahaja’. Sejak bila manusia dikira menggunakan penjodoh bilangan ekor?
“Ini asas bahasa Melayu sekolah tadika, ‘orang’ untuk manusia, ‘ekor’ untuk binatang. Adakah Hadi Awang ponteng kelas tatabahasa sejak kecil atau sengaja memilih perkataan itu untuk menghina?” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Lip Eng pada masa sama, turut bertanyakan sama ada Pas bersetuju dengan kenyataan presiden mereka.
Beliau juga mempersoalkan tahap bahasa dan adab yang diajarkan kepada penyokong parti tersebut.
“Sebagai ketua sebuah parti politik besar, Hadi Awang sepatutnya menjadi contoh yang baik, bukan menjadikan Parlimen sebagai medan untuk mencerca kaum lain.
“Jika benar mahu memperjuangkan Bahasa Melayu, mulakan dengan menggunakannya dengan betul dan penuh hormat,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!