PDRM beri jaminan keselamatan negara aman

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut hadir di Istana Negara hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador turut hadir di Istana Negara hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keadaan dalam negara kekal tenteram, aman walaupun timbul kekhuatiran tentang perkara yang ada hubung kait dengan perkembangan politik ketika ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Hamid mengesahkan beliau berada di Istana Negara sejak tengah hari tadi di atas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah untuk memberi taklimat kepada Tuanku mengenai keadaan ketenteraman awam dan keselamatan negara berhubung perkembangan politik ketika ini.

"Tetapi pada keseluruhannya keadaan aman, terus aman dan tenteram dan Tuanku telah menitahkan supaya PDRM berusaha untuk terus memastikan ketenteraman, keamanan dalam negara terus terjamin.

"Saya menyeru orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi," katanya kepada media ketika ditemui di luar pintu utama Istana Negara petang tadi.

Abdul Hamid berkata, proses demokrasi berjalan dengan baik dan apa juga keputusan yang dibuat Yang di-Pertuan Agong akan diumumkan nanti.

Sehubungan itu beliau meminta semua pihak termasuk pemimpin parti politik, penyokong dan orang ramai bersabar.

"Keadaan dalam negara baik. Jalankan kegiatan harian seperti biasa, tidak ada sebarang ancaman. Tiada isu yang membolehkan orang berkelahi. Insya-ALLAH PDRM akan terus memantau," katanya.

Abdul Hamid turut memberitahu akan mengambil tindakan jika ada pihak menimbulkan isu berita tidak benar yang boleh menyebabkan kegusaran orang ramai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga memaklumkan, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Mohd Zuki Ali yang akan mengeluarkan kenyataan pada bila-bila masa.