RSN Rayer ‘terasa’ dengan kenyataan Mufti Perlis

Rayer pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Isnin.
Rayer pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer mendakwa kenyataan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyentuh mengenai abu yang disapu di dahinya membuatkan beliau terasa terhina sebagai penganut agama Hindu.

Rayer berkata, beliau juga banyak menerima respons daripada penganut Hindu lain berhubung kenyataan dikeluarkan Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza.

Kata Rayer, beliau sebelum ini tidak pernah menghina Mohd Asri atau pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik dalam sidang akhbarnya pada 5 Februari lalu.

“Sudah tentu (daripada) kenyataan-kenyataan itu, saya secara peribadi sebagai penganut agama Hindu yang selalu meletakkan abu putih, suci di dahi saya merasakan bahawa itu satu penghinaan.

“Begitu juga dengan penganut-penganut agama Hindu (lain) banyak sangat respons yang saya terima (daripada mereka) dan juga saya ingin tanya kepada Mohd Asri kenapa begitu respons beliau,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Isnin.

Pada 6 Februari lalu, Mohd Asri dilapor sedia kembali 'bertempur' menentang ahli Parlimen DAP yang dilihatnya begitu lantang termasuk dalam Parlimen, apabila mempersoalkan program keagamaan yang dianjurkan beliau di Perlis baru-baru ini.

Ini susulan penganjuran Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 pada 24 hingga 27 Januari lalu yang menampilkan 18 penceramah antarabangsa terkenal termasuk Zakir.

Media terdahulu melaporkan Rayer menimbulkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan Zakir yang sebelum ini dilarang untuk berceramah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Rayer membangkitkan perkara tersebut susulan laporan sebuah portal berita bahawa Zakir ada membuat ceramah di satu kawasan Parlimen di Perlis.

Rayer menjelaskan, dalam sidang akhbarnya juga, beliau hanya bertanya apakah Zakir sudah dibenarkan untuk memberi ucapan di khalayak ramai kerana menjadi tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen untuk bertanya apabila mengetahui adanya larangan sedemikian kepada Zakir sebelum ini.

“Kalau tuan-tuan hadir pada sidang media saya, saya tidak melontarkan sebarang tuduhan kepada Mohd Asri, saya tidak menghina Mohd Asri dan saya juga tidak menghina Zakir, saya tidak menghina siapa-siapa.

“Cuma soalan saya, sebagai ahli Parlimen adakah larangan terhadap Zakir itu masih lagi berkuat kuasa? Sebab saya tanya kerana Zakir telah meminta maaf di khalayak ramai kerana mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tidak sepatutnya,” ujarnya.

Justeru, Rayer memberitahu, beliau merasa amat dukacita dan hampa dengan kenyataan dikeluarkan Mohd Asri.

Rayer terdahulu menunjukkan rakaman video kenyataan Mohd Asri terhadapnya yang dimuat naik dalam saluran YouTube rasmi mufti berkenaan.

Mohd Asri dalam video itu berkata, Rayer tidak sepatutnya mempersoalkan siapa yang dijemput untuk ke majlisnya sama seperti beliau tidak pernah mempersoalkan wakil rakyat itu apa yang dicalit di dahinya dan mengapa melakukannya.

“Seperti mana saya tidak bertanya apa bahan digunakan untuk menyapu dahinya dan kenapa beliau menyapu dahinya, demikian beliau tidak perlu bertanya saya siapa yang ingin saya jemput,” kata Mohd Asri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!