Isu Zakir Naik: Bincang sensitiviti agama secara matang - AMK Perlis

Azzin Izzad
Azzin Izzad
A
A
A

KANGAR - Setiap pandangan perlu disampaikan dengan adab dan kebijaksanaan terutama membabitkan isu yang menyentuh sensitiviti agama.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Azzin Izzad Bahanudin berkata, sebagai negara yang berpegang pada prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebarang perbincangan berkaitan aktiviti keagamaan harus dilakukan secara berhikmah selain tidak dijadikan modal politik yang boleh mencetuskan perpecahan rakyat.

Menurutnya, semua kaum harus membudayakan dialog secara matang dan harmoni khususnya dalam membincangkan isu-isu sensitiviti agama dan berkepentingan negara.

“AMK Perlis berharap semua pihak termasuk ahli politik terus menghormati peranan institusi agama negeri dalam mendidik masyarakat dan tidak mencampuri urusan institusi agama.

“Kami juga percaya perbezaan pendapat boleh dibincangkan secara intelektual dan beradab tanpa menimbulkan kegusaran awam,” katanya di sini pada Sabtu.

Azzin Izzad berkata, sebagai anak muda yang mendukung perpaduan dan keharmonian, AMK Perlis berharap semua pihak dapat memainkan peranan dalam memastikan kestabilan sosial terus terpelihara.

“Ia selari dengan semangat Malaysia Madani yang menekankan keharmonian dan saling hormat-menghormati.

“Selagi penceramah antarabangsa, Dr Zakir Naik tidak melanggar mana-mana undang-undang di Malaysia, beliau bukan ancaman kepada keharmonian negara,” ujarnya.

Menurutnya lagi, AMK Perlis menyokong sepenuhnya tindakan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam usaha mempertahankan ruang dakwah dan penyebaran ilmu Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai seorang mufti dan tokoh agama, beliau memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat menerusi pendekatan yang berasaskan ilmu dan hikmah,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dari DAP menimbulkan persoalan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kemunculan pendakwah bebas, Dr Zakir Naik yang sebelum ini dilarang berceramah di negara ini.

Rayer membangkitkan perkara tersebut susulan laporan sebuah portal berita bahawa Zakir hadir menyampaikan ceramah di satu kawasan Parlimen di Perlis, baru-baru ini.

Susulan itu, Mohd Asri berkata, beliau bersedia kembali 'bertempur' menentang Rayer yang dilihatnya begitu lantang termasuk dalam Parlimen apabila mempersoalkan program keagamaan yang dianjurkan beliau itu.

Ini susulan penganjuran Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 pada 24 hingga 27 Januari lalu yang menampilkan 18 penceramah antarabangsa terkenal termasuk Zakir sendiri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!