Hamzah temui Presiden Pas, bincang kerjasama Wawasan-Kelantan

KOTA BHARU - Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengadakan perbincangan dengan Pas bagi meneroka ruang kerjasama politik, termasuk perancangan untuk memperkukuh hubungan kedua-dua pihak di Kelantan dan peringkat nasional.
Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, baru-baru ini beliau telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bersama Setiausaha Agung parti itu bagi membincangkan perkara yang boleh dilaksanakan secara bersama.
Menurut beliau, pertemuan itu turut membuka ruang kepada perancangan untuk mengembangkan Wawasan menerusi hubungan yang lebih rapat dengan Pas, khususnya di Kelantan.
"InsyaALLAH, kita ada perancangan yang boleh mengembangkan Wawasan. Kita sentiasa bersama dengan Kelantan, terutamanya di peringkat nasional," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.
Mengulas sama ada perbincangan itu turut menyentuh perkembangan politik semasa di Kelantan, Hamzah memberitahu, kedua-dua pihak membincangkan perkara berkaitan masa depan yang lebih baik.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada Presiden Pas untuk menilai keadaan politik di negeri itu bagi memastikan sebarang perancangan tidak menimbulkan gangguan terhadap situasi sedia ada.
"Tentang masalah sama ada ia boleh kita lihat sebagai satu masa depan yang lebih baik, sudah tentulah kita membincangkan semua.
"Tetapi saya serahkan kepada Presiden Pas untuk menilai dan melihat keadaan supaya kita tidak mahu mengganggu keadaan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Hamzah memberitahu, Kelantan menjadi negeri pertama yang dikunjunginya secara rasmi untuk mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kelantan sejak beliau memulakan langkah berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, pertemuan tidak rasmi dengan Menteri Besar di negeri lain telah dilakukan sebelum ini.
"Secara rasminya, hari ini adalah kali pertama saya melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Kelantan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

