Hanya bot dan topi ditemui, remaja cari udang dikhuatiri lemas

SANDAKAN - Seorang remaja lelaki dikhuatiri lemas ketika mencari udang di kawasan perairan Tanjung Semawang, di sini, pada Sabtu lalu.
Muhammad Nor Aiman Arif, 14, disedari hilang selepas tidak pulang ke rumah dan hanya bot serta topinya yang ditemui hanyut di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.39 pagi Ahad dan seramai enam anggota dikejar ke lokasi.
"Menurut bapanya, mangsa pada awalnya keluar menangkap udang pada jam 5.30 pagi Sabtu lalu bersama rakan yang lain.
"Namun sehingga tengah hari, mangsa tidak pulang ke rumah dan menyebabkan bapanya keluar mencarinya di lokasi. Bagaimanapun, hanya bot dan topi mangsa ditemui di perairan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Katanya lagi, ahli keluarga bersama penduduk kampung telah membuat pencarian namun mangsa masih tidak ditemui.
"Pasukan bomba yang menerima laporan itu turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dan setakat hari kedua ini, mangsa belum lagi ditemui.
"Maklumat terkini akan dikemas kini dari masa ke masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!