'Tiada lagi lambaian Cikgu Haryani'

Nor Zakira menunjukkan gambar kenangan anaknya bersama Allahyarham Cikgu Haryani. Gambar kecil: Nora dan Nor Sahila
Nor Zakira menunjukkan gambar kenangan anaknya bersama Allahyarham Cikgu Haryani. Gambar kecil: Nora dan Nor Sahila
A
A
A

JEMPOL - Pembukaan sesi persekolahan tahun ini di Tabika Kemas Jakoa Kampung Batu Peti di sini berbeza apabila sosok seorang guru yang selalu menyambut kehadiran anak murid setiap pagi di tabika berkenaan sejak hampir 10 tahun lalu kini hanya tinggal kenangan.

Cikgu Haryani Johari, 48, meninggal dunia akibat serangan jantung pada 16 Oktober tahun lalu di tabika berkenaan pada jam kira-kira 12 tengah hari.

Cikgu Haryani meninggal dunia tahun lalu ketika berada di tabika berkenaan.
Cikgu Haryani meninggal dunia tahun lalu ketika berada di tabika berkenaan.

Malah keadaan itu turut memberi kesan yang mendalam terhadap penduduk di perkampungan Orang Asli itu khususnya ibu bapa dan anak muridnya.

Suri rumah, Nor Zakira Zaki, 31, berkata, dia sudah menganggap Allahyarham seperti adik-beradik susulan perwatakannya yang ramah dan mudah bergaul membuatkan ibu bapa berasa senang.

"Allahyarham mengajar anak sulung saya sejak berusia empat tahun dan mana-mana murid yang sudah pandai membaca atau berjaya siapkan kerja sekolah sebelum jam 12 tengah hari pasti dapat hadiah.

"Sekarang walaupun anak sudah masuk darjah satu dan setiap kali melalui tabika ini pasti rasa macam arwah ada sahaja sebab dia suka melambai-lambai dan menegur," katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Gambar kenangan Allahyarham Cikgu Haryani (enam dari kanan) bersama warga tabika berkenaan.
Gambar kenangan Allahyarham Cikgu Haryani (enam dari kanan) bersama warga tabika berkenaan.

Seorang lagi ibu murid, Nora Mek, 51 berkata, tidak menafikan kehilangan Allahyarham begitu dirasai oleh tiga anaknya yang kini berusia 13, 11 dan sembilan tahun yang berkesempatan menimba ilmu dengannya di tabika berkenaan.

"Kami selesalah dengan arwah, cara dia mengajar mudah faham... anak-anak pun suka pergi sekolah sebab cikgunya baik hati," katanya.

Pengerusi tabika tersebut, Nor Sahila Mek, 32, juga meluahkan perasaan sama selain tidak akan melupakan jasa Allahyarham yang berjaya mendidik anak-anak Orang Asli di situ sehingga mereka pandai membaca, menulis dan mengira seawal usia empat tahun.

Suami Allahyarham Haryani, Zainaul Abidin Raub, 57, (tiga dari kanan) ketika bertemu dengan ibu bapa murid di hadapan tabika berkenaan.
Suami Allahyarham Haryani, Zainaul Abidin Raub, 57, (tiga dari kanan) ketika bertemu dengan ibu bapa murid di hadapan tabika berkenaan.

Pada tahun lalu, Cikgu Haryani tiba-tiba pengsan ketika anak muridnya beratur untuk bersalaman dengan Allahyarham sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, Allahyarham disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang datang ke lokasi.

Jasad Allahyarham kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Larong, Kuala Klawang, Jelebu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!