Lelaki Pakistan ditahan jadi dalang seludup PATI

PASIR MAS - Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa berjaya menumpaskan kegiatan pemerdagangan manusia apabila menahan seorang lelaki warganegara Pakistan yang membawa empat pendatang asing tanpa izin (PATI) semasa melalui sekat pintas Serongga di sini pada Ahad.
Semasa penugasan Op Taring Wawasan, anggota bertugas mengesan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan oleh seorang lelaki berusia 40 tahun.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua individu yang berada dalam kenderaan itu gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
"Pemandu warganegara Pakistan itu ditahan kerana menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI.
"Lelaki itu ditahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63, manakala semua PATI di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya pada Isnin.
Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

