PATI cabut lari, terjun bangunan elak dicekup Imigresen

KUALA LUMPUR - Puluhan pendatang asing tanpa izin (PATI) bertempiaran lari selepas kediaman yang dihuni mereka di Flat Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, di sini digempur pada Jumaat.
Operasi bermula kira-kira jam 1 pagi itu mengesan cubaan PATI menyorok, melarikan diri selain terjun dari tingkat satu elak dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Selain itu, ada juga warga asing yang ditahan memberi pelbagai alasan seperti lupa perbaharui dan pasport dipegang majikan selepas gagal mengemukakan permit atau pas sah.
Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, 55 individu disyaki PATI ditahan menerusi Op Sapu.

“Keseluruhannya kami memeriksa 150 warga asing dan menahan 55 individu disyaki PATI berusia lingkungan 2 hingga 55 tahun membabitkan 29 lelaki, 24 wanita serta sepasang kanak-kanak.
"Semakan mendapati mereka yang ditahan merupakan warga Indonesia serta Pakistan," katanya pada Jumaat.
Selain itu, difahamkan, unit rumah di flat itu mempunyai dua bilik yang disewa kira-kira RM600 ke RM750 sebulan untuk warga tempatan, manakala harganya meningkap sehingga RM900 bagi warga asing.
Difahamkan ada beberapa keluarga warga asing yang sanggup menyewa bilik dengan harga RM350.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
