Warga Bangladesh jadi 'penjaja rambo' dicekup

KUALA LUMPUR - Seorang warga Bangladesh yang menjaja minuman dengan menolak troli di sekitar Jalan Raja Laut di sini ditahan pada Khamis.
Penahanan itu dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur selepas tular rakaman video daripada orang awam yang tidak selesa dengan aktiviti lelaki berusia lingkungan 30-an terbabit.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, warga asing itu ditahan menerusi Ops Kutip yang dijalankan pada jam 12.30 tengah malam.
“Semakan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ketika ditahan. Kita percaya dia bekerja sendiri secara sambilan dengan menjaja seperti itu," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata, tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sebelum itu, kegiatan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berniaga secara ‘rambo’ di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur menjadi tular selepas satu video dimuat naik di aplikasi TikTok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!