Mohammed Deif, komander bayangan Briged Qassam

GENTING GAZA - Pemimpin sayap bersenjata Hamas selama lebih dua dekad, Mohammed Deif pernah terselamat cubaan bunuh dilancarkan Israel sebanyak tujuh kali antara tahun 2001 dan 2021.
Beberapa pihak percaya beliau mungkin terselamat buat kali kelapan pada tahun lalu sebelum gugur syahid dalam serangan udara ke atas al-Mawasi di selatan Genting Gaza pada Julai 2024 dan kematiannya hanya disahkan Hamas pada bulan lalu.
Beliau dikenali sebagai tokoh bayangan gerakan pejuang bumi Gaza tersebut dan merupakan salah seorang pengasas Briged Qassam yang memainkan peranan utama dalam pembangunan strategik dan ketenteraan Hamas.
Pemilik nama sebenar Mohammed Diab Ibrahim al-Masri ini dilahirkan pada 1965 di bandar Khan Yunis dengan latar belakang keluarga yang miskin.

Keluarganya berpindah ke Khan Yunis pada 1948 setelah diusir dari al-Qubayba, sebuah bandar berhampiran Ramle ketika Hari Nakba (malapetaka) setelah penubuhan negara haram Israel.
Beliau melanjutkan pengajian hingga ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Gaza dalam bidang biologi, fizik dan kimia.
Ketika masih menuntut, Deif mengetuai jawatankuasa seni dan sering membuat persembahan di bawah kumpulan teater yang menggelarkan diri mereka sebagai 'The Returnees'.
Deif mula menyertai Hamas selepas ia diasaskan pada 1987 ketika Intifada Pertama yang menyaksikan kebangkitan penduduk Palestin menentang kekejaman Zionis.
Dua tahun kemudian, beliau ditahan Israel selama 16 bulan atas dakwaan terlibat dengan aktiviti ketenteraan.
Ketika berada di sebalik tirai besi, Deif bersama anggota Hamas, Salah Shehade bersetuju untuk menubuhkan 'sel tentera' yang memfokuskan operasi menangkap askar musuh.
Selepas dibebaskan, Deif dan Shehade antara yang memainkan peranan utama menubuhkan Briged Qassam yang kini digeruni rejim Zionis.
'Nom de guerre'
Selepas pembunuhan beberapa pemimpin kanan Hamas pada 1990-an, Deif mula hidup secara low profile dan berpindah ke Tebing Barat serta menubuhkan cawangan Briged Qassam di wilayah itu.
Ancaman berterusan Israel menyebabkan beliau terpaksa berpindah-randah dan menetap sementara sebagai 'tetamu' di kediaman penyokong Hamas selain mendapat julukan 'nom de guerre al-Deif'.
Pada 9 Oktober 1994, Deif mengetuai operasi menahan askar Israel, Nachshon Wachsman untuk memberi tekanan kepada rejim Tel Aviv supaya membebaskan pemimpin kanan Hamas, Ahmed Yassin.
Beliau muncul buat pertama kali di hadapan kamera dengan memakai topeng muka untuk mendesak pembebasan Yassin.
Kedegilan Israel yang beberapa kali tetap cuba menyelamatkan tawanan itu membawa kepada kematian Wachsman dan tiga pejuang Palestin yang menjadi titik tolak kepada ketegangan berterusan Hamas-Israel hingga kini.
Pada Julai 2002, Deif mengambil alih Briged Qassem setelah Shehade meninggal dunia.
Beliau kemudiannya menubuhkan akademi untuk melatih anggota gerakan itu dan menyelia penghasilan roket serta misil di Gaza.
Deif turut membantu anggota mereka bentuk roket Briged Qassam dan mewujudkan rangkaian terowong rahsia di Gaza serta melantik Unit Bayangan untuk 'menjaga' tawanan di Gaza.
Amaran kepada musuh
Cubaan bunuh dilakukan Israel beberapa kali mengakibatkan Deif kehilangan sebelah mata, satu tangan dan separa lumpuh.
Oleh kerana beliau sering terselamat, Deif diberi gelaran 'kucing dengan sembilan nyawa' dalam kalangan musuhnya.
Ketika Zionis cuba membunuhnya pada Ogos 2014 ketika perang selama enam minggu di Gaza, serangan ganas itu telah meragut nyawa isteri dan anak-anaknya termasuk yang berusia tujuh bulan.
Setahun selepas itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bertindak memasukkan namanya dalam senarai khas 'pengganas global'.
Ketika Operasi Perlindungan Sempadan pada 2014, Deif tampil menerusi ucapan audio untuk memberi amaran keras kepada Zionis jika ia bertindak mengerahkan unit infantri.
Pada Mei 2021, komander bayangan itu sekali lagi menghantar amaran dalam bentuk audio kepada Israel yang menegaskan mereka akan menerima akibat yang dahsyat jika tidak berundur dari Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur ketika konflik meruncing di wilayah tersebut.
Pada 7 Oktober 2023 ketika Perang Gaza bermula, beliau membuat ucapan audio terakhir yang mengumumkan operasi Taufan al-Aqsa yang memberi tamparan hebat kepada Zionis.
Rakaman dikongsi Al Jazeera menerusi sebuah dokumentari pada bulan lalu menunjukkan Deif dengan wajahnya dikaburkan menyatakan dengan penuh keazaman, 'kita boleh mengubah sejarah'. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

