Selangor masih kekal bawah PH

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Setakat ini Selangor masih kekal di bawah Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Borhan Aman Shah memaklumkan, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sudah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut berhubung kandungan pertemuan tersebut.

“Menteri Besar (Amirudin) menghadap Tuanku Sultan hari ini untuk memberi penjelasan berhubung senario di Selangor.

“Setakat ini Selangor masih kekal di bawah Pakatan Harapan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, media melaporkan satu pertemuan antara Amirudin selaku Pengerusi PKR Selangor bersama Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Ir Izham Hashim diadakan pagi tadi namun tidak memberitahu lokasi dan masa ia diadakan.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk Abdul Rashid Ansari pula dipetik berkata, parti itu tidak mempunyai masalah untuk terus kekal bersama dalam kerajaan negeri.

Selangor mempunyai 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan komposisi 21 kerusi dikuasai PKR, DAP (16), Amanah (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5) dan Pas (1).

Artikel Berkaitan: