Beregu wanita bakal dirombak

AKADEMI Badminton Malaysia (ABM) akan membentuk beregu wanita baharu bagi merapatkan jurang ranking dunia selepas pasangan terbaik negara, Pearly Tan-M Thinaah.
Ketua jurulatihnya, Rosman Razak berkata, pemantauan giat dilakukan ke atas enam pasangan, sebelum sebarang rombakan dilakukan yang dijangka mengambil masa beberapa tahun.
Malah beliau juga sedar beregu wanita negara masih belum berada pada prestasi optimum untuk bersaing dengan gandingan terbaik dunia.
"Itu yang saya sedang lakukan (pecah ganding) dan proses ini memerlukan masa kerana prestasi pemain juga sentiasa berubah.
"Setiap masa akan ada perubahan sama ada daripada segi komitmen mereka untuk menjadi lebih kuat atau sebaliknya.
"Jadi tiada tempoh masa dan ia juga memberi peluang kepada pemain junior mendapatkan tempat," katanya ketika ditemui media pada sesi latihan ABM, Bukit Kiara pada Jumaat.
Beliau menjelaskan, rombakan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan penilaian teliti dan melibatkan banyak faktor.
"Beregu wanita kita masih ada jurang dengan pasangan dunia yang lain. Jadi ini bukan kerja setahun tetapi memerlukan masa dua ke tiga tahun. Masih lama untuk ke arah itu," katanya.
Sebagai rekod Pearly-Thinaah ketika ini berstatus kelima dunia, manakala Go Pei Kee-Teoh Mei Xing di tangga ke-48.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!